Pangkalan TUDM Sungai Besi kekal

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyatakan bahawa Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi di sini, akan diubah suai dan dibangunkan sebagai hab komersial termasuk dilengkapi dengan pusat pendaratan helikopter.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan dan tiada perubahan yang akan berlaku kepada lapangan terbang pertama di negara ini yang diisytiharkan bertaraf antarabangsa pada 1 Ogos 1956 oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Sungai Besi masih kekal utuh di situ dan mampu digunakan lagi bagi kemudahan mana-mana pihak dan agensi yang berada di kem berkenaan seperti TUDM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis menandatangani penajaan sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 di Wisma Pertahanan di sini, semalam.

Affin Bank Berhad adalah penaja rasmi pameran itu. Hadir sama, Pengarah Perniagaan Perbankan Affin Bank Berhad, Amirudin Abdul Halim dan Pengurus Besar Pameran DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, Abdul Nadzeem Abdul Rahman.

Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan Unit Udara PDRM yang berpangkalan di TUDM itu juga akan dipindahkan ke satu tempat yang belum diputuskan sebaik saja hab komersial itu siap sepenuhnya dalam tempoh yang tidak diketahui.
Kelmarin, akhbar terbabit melaporkan kerajaan bercadang untuk membangunkan semula Lapangan Terbang Sungai Besi yang lengkap dengan tempat pendaratan helikopter, bagaimanapun perkara itu masih belum diputuskan pelaksanaannya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, DSA 2010 Ke-12 akan disertai oleh 770 syarikat berkaitan pertahanan berbanding 718 syarikat pada dua tahun lalu.

Katanya, kontrak yang akan ditandatangani membabitkan RM10.417 bilion berbanding kira-kira RM3 bilion pada 2008, dan ia lebih kepada pemilikan aset.

“Apa yang penting adalah penyertaan syarikat tempatan dari segi penyelidikan dan pembangunan, OMR (Optical Mark Recognition) dan juga pengilang," katanya.

Pameran mulai 19 hingga 22 April itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Antara syarikat tempatan yang dijangka turut serta ialah AMP Corporation, DEFTECH, Nadi Defence, SME Ordnance, Composite Technology Research Malaysia, Tri Level Miltech, Bry Air Industries dan MFDM Group.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url