Murid Tahun Enam Perlu Sumbangan Buah Pinggang


LANGKAWI: Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kedawang di sini, Mohd Hafizudin Amirul Azizi, memerlukan sumbangan buah pinggang untuk meneruskan hidupnya.

Ibunya, Hasmeton Azmy, 33, berkata beliau juga memerlukan bantuan kewangan untuk urusan perubatan anaknya di Hospital Pulau Pinang.

Hasmeton, yang kematian suami dan tinggal di rumah ibunya di Kampung Kuah, berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat menghulur bantuan bagi meringan bebanannya.

"Hidup kami susah, tolonglah bantu kerana suami telah meninggal pada tahun lepas," katanya.

Mohd Hafizudin, 12, pula berkata disebabkan keadaan kesihatannya, beliau tidak dapat bersekolah dan tidak akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Beliau berharap pihak sekolah dapat membantunya menduduki UPSR kerana walaupun tidak ke sekolah, dia masih belajar dengan bimbingan ibunya.

Setiausaha Umno Cawangan Kampung Kuah, Salehuddin Ahmad berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Langkawi untuk membantu keluarga itu.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Hasmeton di talian 0175628073.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url