Pelajar pendidikan vokasional mampu bergaji tinggi
Fakulti Pendidikan Teknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Inisiatif Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan sistem pendidikan vokasional di Perancis sebagai model dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah sangat signifikan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara strategi MEB adalah meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan fokus ditumpukan kepada golongan kurang bernasib baik. Selain daripada golongan miskin dan orang kurang upaya, mereka yang mencapai tahap akademik yang rendah juga boleh digolongkan sebagai kurang bernasib baik. Justeru, dengan memberikan mereka pendidikan vokasional dan kemahiran, pelajar yang tercicir akademik juga boleh menikmati pendapatan tinggi.
Masyarakat sewajarnya juga memberi sokongan padu terhadap misi kerajaan untuk menambah jumlah peratusan pelajar aliran vokasional dan mengenal pasti mereka yang berpotensi mengikuti aliran tersebut daripada tingkatan satu lagi. Malahan saya berpendapat usaha mengenal pasti kecenderungan pelajar memilih aliran vokasional sewajarnya bermula dari sekolah rendah lagi dan mereka disalurkan ke aliran vokasional bermula dari tingkatan satu. Persepsi masyarakat yang meletakkan pelajar aliran vokasional sebagai kelas kedua atau pelajar tercicir tidak lagi sepatutnya timbul. Ini kerana pelajar yang mengikuti aliran vokasional adalah berdasarkan bakat dan minat, bukan lagi keputusan peperiksaan.
Penulis juga mencadangkan agar kerajaan dalam proses pemilihan pelajar memasuki aliran vokasional turut membuka peluang kepada pelajar cemerlang. Satu ujian berdasarkan bakat dan kebolehan hendaklah dijalankan untuk mengenal pasti bakat dan aliran yang diminati oleh pelajar. Dengan cara ini, pendidikan vokasional akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana pelajar yang dipilih memasuki aliran tersebut bukan kerana mereka tidak mencapai tahap kecemerlangan akademik tetapi berdasarkan kebolehan psikomotor cemerlang mereka.
Daripada segi infrastruktur, saya bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin bahawa infrastruktur komprehensif perlu disediakan terlebih dahulu sebelum sistem pendidikan vokasional secara insentif dilaksanakan. Selain itu, kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan sumber tenaga pengajar untuk menyokong kelancaran pelaksanaan aliran vokasional di negara ini. Begitu juga dengan model kurikulum vokasional yang hendak dirujuk dan diguna pakai. Selain daripada Perancis, disarankan kerajaan melihat beberapa negara lain di Eropah dan Amerika. Ini kerana berdasarkan fakta sejarah pendidikan vokasional yang berdasarkan latihan, ia bermula di Switzerland pada tahun 1740-an dan berkembang pesat di AS pada 1800 hingga 1900. Di AS, terdapat negeri yang mendedahkan pendidikan vokasional di peringkat rendah dan fokus pendidikan vokasional mereka berteraskan pekerjaan.
Bagi sumber tenaga pengajar, kerajaan sebenarnya telah mempunyai modal insan yang ramai, berkemahiran dan berdaya saing. Ini kerana sistem pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran bukanlah asing di Malaysia, malah telah bermula sejak awal 1900-an lagi. Pada masa ini, pelajar dan graduan aliran teknik, vokasional dan kemahiran dilahirkan antaranya dari Kementerian Sumber Manusia (Institusi Latihan Perindustrian), Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Pusat Latihan Pengajar dan Latihan Lanjutan dan Institut Teknikal Jepun Malaysia ); Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Institut kemahiran Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Pusat Giat Mara); Kementerian Belia dan Sukan (Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara); Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Kolej Pertanian dan Institut Pertanian) serta institut pendidikan swasta seperti German Malaysian Institute dan Malaysia France Institute. Dalam erti kata lain, Malaysia mempunyai modal insan yang mencukupi untuk menjadi tenaga pengajar dalam sistem pendidikan vokasional di negara ini.
Kalau dahulu, dalam konteks pelaksanaan PPSMI, kerajaan terpaksa melatih semula guru-guru dalam melaksanakan dasar tersebut, adalah diyakini kerajaan tidak lagi perlu melatih semula guru-guru sedia ada kerana institut pendidikan teknik dan vokasional seperti UTHM, UTM dan UPM telah pun melatih dan melahirkan guru-guru yang berketerampilan untuk mengajar pendidikan vokasional. Aspirasi kerajaan dapat direalisasikan hanya dengan menambah kemasukan guru pelatih baru ke institusi-institusi pendidikan teknikal dan kami akan menyambutnya dengan inspirasi melahirkan guru profesional yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena glokal.
Oleh itu, saya berpendapat adalah sangat tepat usaha kerajaan untuk meletakkan pendidikan vokasional berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pendidikan akademik.
- UTUSAN
sebagai guru sm vokasonal saya bersetuju dgn laporan ini.
kpd saudara azhar minta kebenaran boleh x jika saya mengambil artikel artikel berkaitan vokasional yanga ada dari blog saudara ini untuk tujuan penenrangan kepada pelajar2 atau untuk tujuan penyiaran di majalah vokasional sekolah saya..tq