Pengertian undang-undang
Jabatan Sejarah Universiti Malaya
Undang-undang diadakan untuk faedah masyarakat. Dengan perkataan lain, adanya undang-undang dapat menjamin ketertiban masyarakat; ia bererti orang dapat hidup dengan lebih bahagia. Tujuan utama undang-undang bukan untuk menghukum walaupun biasanya bila orang melanggar undang-undang, mereka harus dihukum.
Dalam masyarakat moden sekarang, undang-undang mempunyai pengertian yang semakin kompleks kerana fahaman undangundang memang tidak statik.
Undang-undang di Malaysia sekarang ini berdasarkan undang-undang British yang buat kali pertama dikuatkuasakan waktu pihak British menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786. Kemudian dengan beransur-ansur sistem itu diperkenalkan Semenanjung Tanah Melayu, di antara tahun 1874 bila Perjanjian Pangkor ditandatangani di Perak dengan tahun 1919 bila kerajaan Terengganu menerima seorang Penasihat British. Terengganu memang kerajaan yang terakhir di Semenanjung Tanah Melayu yang terpaksa membenarkan pihak British campur tangan dalam sistem pentadbirannya.
Perlu dijelaskan di sini bahawa sehingga Perang Dunia Kedua, pihak Britain tidak menjajah kerajaan Melayu; ia hanya menjajah Negeri-negeri Selat yang sejak 1867 secara rasmi disebutkan sebagai 'Tanah Jajahan Mahkota British' pada hal kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu (jumlahnya sembilan sejak 1895) mempunyai status 'Negeri-negeri Melayu Naungan'. Orang yang menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat menjadi Pesuruhjaya Tinggi British kepada Negeri-negeri Melayu Naungan.
Sistem pentadbiran dan pemerintahan British memang berbeza dengan apa yang sudah lama wujud di kerajaan-kerajaan Melayu tradisional. Sistem British mengutamakan 'kedaulatan undang-undang (bertulis)'. Menurut tradisi di Barat secara umum, sistem pentadbiran terbahagi kepada tiga bahagian: (1) yang meluluskan undang-undang (Perundangan), (2) yang melaksanakan undang-undang (Eksekutif) dan, (3) yang mentafsirkan undang-undang (Kehakiman). Itu disifatkan sebagai 'pengasingan kuasa' - peranan ketiga-tiga tidak sepatutnya bertindih.
Menurut sistem itu juga, bila seseorang individu ditahan dan dituduh melanggar undang-undang misalnya oleh pihak polis, dia belum lagi boleh dikatakan bersalah atau tidak bersalah. Itu juga bererti yang dituduh semestinya diberi peluang untuk mempertahankan diri, biasanya melalui seorang peguam. Seterusnya, kalau dia didapati bersalah oleh mahkamah rendah, dia berhak merayu kepada mahkmah yang lebih tinggi.
Dalam setiap masyarakat yang berpegang kepada konsep 'kedaulatan undang-undang', prosedur untuk melakukan sesuatu mengikut undang-undang sememangnya dinyatakan dan pihak eksekutif tidak boleh mengambil tindakan dengan sewenang-wenang kerana ia jug perlu patuh kepada undang-undang.
Konsep 'kedaulatan undang-undang' tidak selalunya jelas kepada orang ramai di Malaysia, terutamanya mereka yang kurang terdedah kepada masyarakat Barat. Dalam sistem pendidikan, ia tidak diberi keutamaan. Oleh yang demikian prosedur amatlah penting untuk menjamin supaya pelaksanaan undang-undang atau pun peraturan akan berjalan dengan licin dan saksama kerana hanya dengan wujudnya keadaan seperti itu barulah huru-hara dapat dielakkan. Keadaan di mana setiap orang mempunyai kuasa yang tersendiri dan tiada orang yang terpaksa patuh kepada pihak yang tertentu sudah pasti akan menimbulkan keadaan kucar-kacir dan akibatnya kepentingan dan kebahagian setiap orang dalam masyarakat akan terjejas.
Perlu ditegaskan juga, konsep 'kedaulatan undang-undang' bukan bererti pihak yang menguatkuasakan atau mentafsirkan undang-undang tidak perlu menggunakan budi bicara. Manusia bukan jentera sama ada dia seorang polis atau pun hakim. Walaupun kelonggaran yang ada padanya berbeza-beza - ia bergantung kepada keadaan - sebagai manusia yang mempunyai akal, seseorang itu seharusnya sentiasa menimbangkan tindakan yang akan diambilnya dengan teliti dan seboleh-bolehnya tanpa emosi.
Undang-undang wujud untuk faedah orang ramai. Tetapi ada kalanya undang-undang yang wujud boleh mengganggu orang ramai. Polis yang bersembunyi untuk memerangkap pemandu kereta dengan tidak membezakan di antara mereka yang membuat kesilapan tidak sengaja dengan mereka yang memandu dengan cara yang bukan hanya berbahaya tetapi tidak bersopan adalah pegawai yang tidak mengutamakan keselesaan majoriti pemandu terutamanya polis yang menegaskan bahawa mereka "hanya menjalankan arahan".
Polis yang menurut arahan pun sepatutnya berfikir sama ada tindakannya akan menolong atau mengganggu orang ramai. Dalam keadaan tertentu mungkin amaran sudah memadai. Bukan semua orang yang melanggar undang-undang adalah penjenayah. Kadang-kadang mereka hanya cuai; kadang-kadang mereka memang kurang jelas tentang undang-undang walaupun secara umum, kejahilan tentang undang-undang tidak dapat diterima sebagai alasan. Tetapi di Malaysia memang ramai tidak diberi pendidikan yang cukup sempurna di sekolah.
Tidak dapat dinafikan tugas seorang polis sangatlah berat. Bagaimana pun ia seharusnya meyakinkan orang ramai bukan mengugut mereka. Maksudnya polis perlu sentiasa memberi penjelasan tentang undang-undang dengan cara yang rasional, bukan hanya dengan memberi jawapan: "Saya menurut perintah." Kalau polis sendiri kurang jelas tentang kebijaksanaan undang-undang yang perlu dikuatkuasakan, tindakan yang diambilnya sudah tentu tidak membawa makna kepadanya sendirinya apa lagi kepada orang yang kononnya sudah melanggar undang-undang.
Orang Timur telah banyak meminjam institusi Barat tetapi fahaman orang Timur di peringkat akar umbi perihal institusi-institusi itu tidaklah mendalam kerana tidak ramai orang Timur yang terdedah kepada budaya Barat. Tambahan pula, institusi-institusi sosial Barat, begitu juga undang-undang Barat, sudah banyak mengalami perubahan sejak satu atau dua abad kebelakangan ini. Misalnya, di England sendiri, suatu undang-undang yang telah dipinda untuk menyesuaikannya dengan perubahan persepsi masyarakat ialah hukuman terhdap pencurian.
Lebih kurang 150 tahun dahulu, sesiapa yang mencuri di England akan digantung sampai mati. Sekarang mencuri boleh menjadi jenayah yang agak ringan. Mereka yang mencuri untuk memberi makanan kepada kanak-kanaknya yang menghadapi kebuluran tidak mungkin akan dihukum oleh mahkamah.
Ternyata niat sangat penting. Seseorang yang melanggar undang-undang tanpa niat yang jahat mungkin akan diampun tetapi sesiapa yang melanggar undang-undang dengan niat untuk menguntungkan diri sendiri, di samping itu membawa kesedihan kepada orang lain pasti dihukum. Tetapi individu tidak dibenarkan bertindak sendiri untuk menghukum seseorang penjenayah. Seseorang itu boleh membunuh kalau nyawanya dalam keadaan bahaya apabila dia diserang oleh seorang perompak.
Undang-undang yang dikuatkuasakan tanpa budi bicara boleh dianggap kejam kerana ia lebih menganiaya daripada memberi manfaat kerana biasanya undang-undang diluluskan berasaskan andaian bahawa ia akan menolong mewujudkan ketertiban dan keselamatan dalam masyarakat. Tetapi sejauh mana ia berkesan bergantung kepada mereka yang menguakuasakan dan mentafsirkan undang-undang.
Akhir-akhir ini Malaysia juga telah mengambil berat tentang hak asasi kemanusiaan sehingga telah ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) lebih kurang 10 tahun dahulu. Tetapi kewibawaan yang diserahkan kepada Suhakam adalah terbatas. Tugas utamanya adalah untuk memantau dan membuat laporan bukan untuk bertindak.
Masyarakat umum di Malaysia tidak dididik agar mereka benar-benar faham bahawa, walau pun setiap orang dikatakan mempunyai hak asasi kemanusiaan, itu bukan bererti mereka boleh bertindak dengan sesuka hati. Pelaksanaan hak perlu disertai dengan tanggungjawab. Kerana manusia hidup dalam masyarakat, tindakan setiap orang boleh memberi kesan kepada orang lain maka dengan melaksanakan hak diri sendiri, seseorang individu seharusnya sentiasa menjamin agar dia tidak melanggar hak asasi orang lain.
Suatu kemusykilan lagi yang mulai timbul sekarang ialah kuasa yang dipegang oleh pihak eksekutif. Kadang kala ia terkeluar daripada tugas yang dihadkan kepada mereka, iaitu mereka bukan hanya menjalankan tugas sesudah bahagian perundangan meluluskan undang-undang yang berkenaan malah kadang-kadang mereka juga menentukan hukuman dan bukan badan kehakiman.
Masyarakat Malaysia memang perlu dididik dengan lebih sempurna terutama sekali golongan muda. Kerana generasi ibu bapa sekarang bukanlah mereka yang telah diberi pendidikan yang lebih bulat maka sikap mereka tentang anak-anak sendiri bukan terpengaruh oleh keprihatian kepada masyarakat dan negara tetapi oleh agenda peribadi. Maksudnya pengorbanan untuk faedah masyarakat tidak dititikberatkan sama ada di rumah atau di sekolah. Kerana itu penguatkuasaan undang-undang pun dari semasa ke semasa menjadi masalah kerana keadilan tidak kelihatan jelas bila tindakan diambil oleh sama ada badan eksekutif atau kehakiman.
Apa yang ternyata tidak diutamakan oleh mereka yang menjalankan tugas sama ada di sektor awam atau swasta ialah integriti. Undang-undang yang bagaimana sempurna pun tidak akan membawa kebahagian kepada masyarakat kalau mereka yang diberi tanggungjawab menguatkuasakannya tidak menjalankan tugas dengan penuh kesedaran bahawa tindakan mereka dalam jangka masa panjang akan menstabilkan atau menghapuskan masyarakat.
- UTUSAN