Ruang niaga di lot.my


Ingin jadi peniaga tapi tiada modal untuk membuka kedai. Jangan risau dengan adanya kemudahan Internet tidak mustahil anda boleh menjadi kaya raya dengan hanya membuka kedai secara maya. Kemudahan portal seperti www.lot.my adalah satu penyelesaian bagi mereka yang minat berniaga.

Aplikasi web tersebut dibangunkan oleh kumpulan anak muda berjiwa besar, diketuai oleh Mohd. Akmal Akhpah, seorang jurutera perisian serta rakan-rakannya terdiri dari Shahabudeen Jalil, Mohd Suhaimi Ramly, Khairul Anwar M. Zaki, Luqman Zulhusni Ismael dan Mohd Alif Nordin.

Menurut Mohd. Akmal, lot.my ditubuhkan dengan tujuan meluaskan peluang perniagaan secara dalam talian untuk semua rakyat Malaysia.

"Berdasarkan pengalaman kami dalam perniagaan, kami telah mengenalpasti faktor-faktor yang menjadi penghalang yang membantutkan hasrat bakal usahawan untuk memulakan perniagaan.

"Antara faktor yang telah dikenalpasti ialah kos membuat laman web e-dagang yang tinggi, kurang kepakaran teknikal dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan saluran pemasaran online yang tidak berkesan.

"Lot.my dibina bertujuan untuk memberikan penyelesaian kepada ketiga-tiga masalah tersebut," ujarnya ketika ditemubual di pejabat MEGA, Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd. Akmal menambah, aplikasi web tersebut membolehkan para usahawan membuka kedai online lengkap secara percuma, mudah dan berkesan.

"Lot.my ini dibangunkan supaya mudah digunakan walaupun oleh pengguna yang tiada kemahiran IT yang tinggi.

"Untuk memulakan kedai online usahawan hanya perlu daftar, pilih reka bentuk kedai dan iklankan produk," jelasnya.

Menurut Mohd. Akmal lagi, pihaknya juga menyediakan pelbagai tema latar belakang yang membolehkan usahawan menukar paparan kedai online mereka dengan mudah.

Malah beratus-ratus pilihan latar belakang yang cantik juga disediakan di mana usahawan hanya perlu membuat pilihan dan memasukkan logo atau banner perniagaan mereka sendiri.

"Pengguna juga tidak perlu memikirkan tentang pembelian domain, konfigurasi server, muat turun perisian atau apa jua keperluan kompleks lain untuk menggunakan lot.my.

"Aplikasi ini dihoskan berasaskan web dan pendaftaran boleh dibuat dalam masa lima minit sahaja. Pengguna tidak perlu risau tentang kos kerana sangat berpatutan.

"Untuk membuka kedai online, lazimnya peniaga terpaksa membayar lebih daripada RM500 malah hingga mencecah ribuan ringgit. Tetapi dengan dengan aplikasi kami para peniaga dapat membina kedai online berfungsi penuh dengan kadar istimewa RM40 sebulan sahaja.

"Bagaimanapun, buat masa ini perkhidmatan ini diberikan secara percuma sahaja. Tanpa membayar satu sen pun, usahawan boleh membuka kedai online sendiri dan mula menjual dengan serta merta," ujarnya.

Untuk memberi gambaran jelas kepada pengguna, Mohd Akmal berkata, pengguna yang telah berdaftar di www.lot.my akan mendapat alamat khas mereka sendiri, contohnya seperti bajumuslimah.lot.my, baju.lot.my dan sebagainya.

"Pengguna juga tidak perlu risau akan ciri keselamatan kerana setiap pemilik kedai akan mempunyai ruang operasi yang selamat.

"Hanya pemilik kedai yang boleh mengakses ruang operasi kedainya sendiri. Ia juga dibantu oleh sistem sekuriti yang tinggi dengan sistem pembayaran yang selamat," jelasnya.

Mohd. Akmal berkata, penekanan utama yang diberikan dalam mendidik bakal usahawan ialah dengan menekankan prinsip 'bermula dari kecil tanpa hutang'.

"Adalah menjadi harapan kami agar kemahiran dalam bidang perniagaan Internet ini dapat dikongsi bersama para usahawan tempatan supaya sektor perniagaan berasaskan e-dagang dapat dimajukan," katanya.

Bagi memberikan gambaran serta penerangan yang lebih jelas kepada para pengguna, sebuah bengkel bertajuk Cara Membuka Kedai Online anjuran bersama Mega Utusan Malaysia akan diadakan bermula pada 17 April ini.

Bengkel tersebut akan diadakan di lima buah lokasi bermula di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuantan dan Alor Setar.

"Hanya 50 peserta untuk setiap lokasi, sesiapa yang bercadang untuk memulakan perniagaan online boleh datang. Suri rumah, pelajar atau sesiapa sahaja yang ingin berniaga secara online dialu-alukan mendaftar," ujarnya mengakhiri bicara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Ummi Hanie
    Ummi Hanie Isnin, 25 Julai 2011 pada 11:02:00 PTG SGT

    ye..lot.my mmg best ... ;)

    jemput singgah kedao lot sy ;

    http://pinkmuslimahstore.lot.my

Add Comment
comment url