ATM, TNI tumpu latihan nuklear

MELAKA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya menjalani latihan peperangan bersama menggunakan peralatan biologikal dan nuklear sebagai persediaan bagi menangani kegiatan kumpulan pengganas sama ada di darat, laut dan udara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata latihan bersama itu adalah atas dasar keperluan untuk meningkatkan kesedaran terhadap ancaman kedua-dua senjata berkenaan di kalangan warga tentera masing-masing.

Katanya, selain berkongsi maklumat perisikan bersama, tumpuan latihan peperangan melalui penggunaan senjata berkenaan diharap dapat memberi nilai tambah kefahaman kepada anggota kedua-dua pasukan dengan lebih mendalam mengenai aspek berkaitan, selain kaedah terbaik dalam menguruskan ancaman seperti itu.

"Pada latihan kali ini, kita menumpukan peperangan melalui penggunaan senjata biologikal dan nuklear. Kerjasama ini juga adalah sesuatu yang baru dan tidak pernah dilakukan sebelumnya. Penumpuan terhadap kedua-dua senjata itu adalah kerana pengganas pada masa kini lebih cenderung menggunakan bahan itu untuk mengatasi permasalahan mereka ketika menahan tebusan.

"Jadi, kerjasama ini berperanan menyediakan kepakaran anggota dan peralatan untuk diatur gerak bagi membantu menangani serangan dan bencana biologikal serta nuklear dalam kawasan operasi," katanya selepas penutupan Malindo Latihan Gabungan Bersama Darat, Samudera dan Udara (Latgabma Darsasa) 7AB/2010 di Hotel Everly Resort, dekat sini, semalam.

Latihan bersama itu bertemakan Pasukan Komando Tugas Gabungan Bersama Menangani Keganasan dan ia adalah siri ketujuh. Ia bermula 25 Mac lalu dan berakhir Sabtu ini serta disertai seramai 1,243 anggota ATM dan 452 anggota TNI.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Indonesia, Prof Dr Purnomo Yusgiantoro; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima TNI, Jeneral Djoko Santoso.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url