Tidak hanya bagus akademik - Menteri Pelajaran

Temuramah dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin

MINGGUAN: Apa sebenarnya falsafah di sebalik Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan?

MUHYIDDIN YASSIN: NKRA Pendidikan sebenarnya adalah selaras dengan dasar pendidikan negara untuk melahirkan modal insan kamil daripada sistem pendidikan kita iaitu menerusi pembelajaran dan pengajaran. Yang kita telah laksanakan selama ini pun berdasarkan falsafah yang sama. Cuma yang ditekankan dalam NKRA adalah usaha untuk melonjakkan pencapaian kita dalam beberapa bidang kecil yang belum tercapai pencapaiannya. Sedangkan bidang-bidang ini dianggap penting yang boleh membantu meningkatkan pencapaian kita dalam soal pelajaran.

Umpamanya sistem pra sekolah yang telah dilaksanakan tetapi kita tidak anggap ia sebagai komponen penting dalam sistem pendidikan. Sebab itu dalam NKRA kita bawa masuk bidang prasekolah sebagai salah satu bidang yang utama. Ia dimasukkan dalam sub NKRA sebagai satu usaha untuk meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak kita walaupun mereka belum ke sekolah.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberikan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti sebagai asas untuk memastikan peningkatan minat dan kesinambungan kepada pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.

Sebab itu pendidikan prasekolah dijadikan sub pertama NKRA kerana ia kita anggap penting sebagai asas untuk membentuk sahsiah dari segi emosi dan persiapan mental untuk kanak-kanak pergi ke sekolah biasa dan menerima ilmu dalam sistem formal. Langkah ini juga selaras dengan dapatan kajian iaitu sekiranya kanak-kanak yang mempunyai kemahiran tinggi dari peringkat awal pendidikan maka peluang untuk berjaya akan semakin meningkat.

Adakah ini bermakna NKRA membawa nafas baru kepada Dasar Pelajaran Negara?

MUHYIDDIN YASSIN: Ia selari dengan pelan transformasi kerajaan, maknanya kita telah iktiraf ini adalah bahagian komponen pendidikan yang kita tidak boleh abaikan supaya kita boleh tingkatkan prestasi anak-anak kita. Setiap sub NKRA yang menyentuh tentang sekolah, literasi dan numerasi, guru-guru mempunyai matlamat yang amat jelas. Kita mahu anak-anak di Malaysia yang belajar ke sekolah sampai peringkat tiga tahun seharusnya sudah menguasai 3M.

Dalam keadaan sekarang ini kita sedang kenal pasti kelemahan-kelemahan kerana ada berlaku pelajar-pelajar yang telah sampai ke tingkatan satu masih tidak boleh membaca dan menulis.

Malah pada 2008 masih terdapat kira-kira 13 peratus (54,000) murid Tahun 1 tidak menguasai 2M iaitu membaca dan menulis. Perkara ini kita anggap serius kerana apabila melangkah ke tahap seterusnya mereka tidak dapat menguasai 3M. Ia akan menyumbang kepada peningkatan kadar keciciran di sekolah selain meningkatkan masalah disiplin. Kemudian melarat kepada kegagalan akademik secara kumulatif dan perkara ini amat sukar diperbaiki apabila mereka masuk ke peringkat lebih tinggi.

Jadi kita mengambil langkah awalan dengan memperkenalkan sub NKRA LINUS (literasi dan numerasi) supaya hal sebegitu tidak berlaku lagi. Kita telah mulakan supaya akhirnya kesan jangka panjang peratusan literasi setanding dengan negara maju di dunia. Tidak ada peratusan orang yang tidak boleh membaca mengira dan menulis tidak kira peringkat umur mana. Itu matlamat kita.

Seterusnya, keupayaan anak-anak kita menguasai bidang ilmu kerana mereka sudah pakar dan ada asas yang kukuh.

Bagaimana pula dengan program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang dilihat hanya melonjakkan sekolah-sekolah yang sedia bagus?

MUHYIDDIN YASSIN: Dalam soal sekolah berprestasi tinggi, ia bukan soal mengenal pasti sekolah sahaja. Kita mahu menunjukkan di Malaysia sudah ada sekolah yang mencapai tahap kecemerlangan setanding dengan sekolah-sekolah di negara-negara maju. Ini kerana penanda aras yang tinggi dan ketat serta kriteria yang dikenalpasti juga bukan mudah. Hasil tinjauan kita sudah ada sekolah begitu walaupun jumlahnya kecil iaitu 20 sekolah. Tetapi kita harap dalam masa tiga tahun 100 sekolah atau lebih dalam kategori ini.

Tetapi di bawah program yang sama kita juga mahu menaikkan taraf sekolah-sekolah lain sebab itu kita perkenalkan school improvement programme . Adalah tidak benar jika ada tanggapan bahawa kerajaan hanya menumpukan kepada membangunkan sekolah-sekolah elit dengan memberikan layanan istimewa kepada mereka. Sekolah ini terbangun bukan kerana kita usahakan secara spesifik tetapi hasil daripada kepimpinan sekolah, kebijaksanaan guru, ibu bapa, pelajar, pelbagai program tambahan yang mereka laksanakan untuk menambah baik mutu program pembelajaran di sekolah.

Di pihak kerajaan kita sememangnya mahu meningkatkan martabat sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk di paras yang rendah pun kita nak naikkan.

Kesemua ini ada kaitan dengan sub NKRA seterusnya iaitu tawaran baru kepada pengetua.

Ini kerana kita iktiraf sebahagian besar peningkatan di sekolah bergantung kepada kepimpinan guru di sekolah selain dokongan pihak-pihak yang lain seperti ibu bapa pelajar.

Di situ peranannya adalah pengetua dan guru-guru. Telah terbukti dalam SBT kenapa boleh sampai ke situ kerana ada keupayaan baru kepimpinan di kalangan pengetua dan guru besar sehingga sekolah itu boleh melonjak lebih tinggi dari sekolah lain. Sebab itu dalam bai'ah baru tawaran baru kita nak bagi satu skim tawaran istimewa berupa insentif, kalau meningkat kita boleh iktiraf pengetua dan guru dan kita beri insentif berbentuk wang dan sebagainya.

Apa sebenarnya keperluan mendesak yang membawa kepada pelaksanaan NKRA?

MUHYIDDIN YASSIN: Sebenarnya ia ada kaitan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu. Ini kerana biar pun Malaysia telah menunjukkan kemajuan bagi mencapai Wawasan 2020 tetapi kadar pertumbuhan negara khususnya dalam bidang ekonomi dan sosial agak lambat dan membimbangkan.

Pengenalan NKRA pendidikan adalah usaha penambahbaikan yang mesti dilakukan secara berterusan. Memang pun sebelum ada NKRA sasaran kita adalah untuk meningkatkan prestasi sekolah dan pencapaian pelajar. Tetapi inisiatif ini adalah sebagai inisiatif baru untuk menunjukkan komitmen serta kesungguhan kerajaan meningkatkan pencapaian kita dalam bidang pendidikan. Selain daripada perkara biasa yang kita lakukan secara berterusan, penambahbaikan kali ini dibuat dalam bentuk NKRA, bukan dari segi pembangunan dasar sebab dasar memang telah sedia ada. NKRA mementingkan tahap pencapaian. Misalnya untuk prasekolah daripada 67 peratus ditingkatkan kepada 87 peratus. Kita tak kata nak sediakan banyak sekolah saja tetapi kita meletakkan sasaran menerusi KPI yang kita guna pakai. Jadi NKRA adalah salah satu kerangka di mana setiap satu yang hendak kita buat kita tetapkan sasaran dari segi jumlah program dan hasil daripada program yang boleh meningkatkan pencapaian. Itu berbeza daripada dahulu, misalnya sekolah mesti ada jumlahnya. Kita di peringkat kementerian dan saya sebagai menteri peneraju bertanggungjawab hendak pastikan peratusan yang kita sebut kita nak capai mesti tercapai. Bermakna ini adalah pendekatan baru dan komitmen baru pimpinan dan kerajaan untuk meningkatkan tahap pencapaian kita dalam bidang pelajaran.

Kita bercakap soal kualiti, ramai pelajar cemerlang berjaya dilahirkan tetapi sistem pendidikan kita tidak mengajar murid-murid menjadi kreatif?

MUHYIDIN YASSIN: Kita berusaha perbaiki, kita buat transformasi kurikulum di semua peringkat di sekolah. Kita ada bahagian kurikulum khas di kementerian yang meneliti apakah kekurangan. Dan satu yang diakui oleh kita adalah tentang daya kreativiti anak-anak kita masih kurang berbanding di sekolah negara maju. Mereka lebih berani bersemuka dengan guru, pembelajaran secara interaktif, berani memberikan pandangan dan pendapat. Ini mungkin disebabkan cara pembelajaran, pengajaran, kita pula lebih menjurus kepada buku teks, silibus dan guru melihat kalau itu sudah dibuat maka cukuplah. Jadi ini tidak memberangsangkan pemikiran kreatif. Sebab itu kita kena teliti semula bagaimana kurikulum kita walaupun sudah baik boleh beri ruang kepada pelajar untuk menunjukkan kepintaran mereka dari segi kreativiti. Kalau belajar sesuatu matapelajaran itu bukan ikut buku teks sahaja, mereka boleh dapat ilmu lain apa lagi dengan sumbersumber baru dari Internet yang boleh menokok tambah lagi kreativiti mereka. Ruang ini semestinya ada di sekolah untuk membolehkan kreativiti berkembang, Jika tidak mereka akan setakat belajar dan mengajar itu sahaja, ini tidak membantu menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif.

Adakah sistem pendidikan di Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan? Dan mungkin NKRA Pendidikan mampu mengubah pelaksanaan sistem seumpama itu?

MUHYIDDIN YASSIN: Tanggapannya begitu. Mungkin kerana sejak sekian lama baik daripada kerajaan mahupun masyarakat mereka menilai prestasi berdasarkan pencapaian akademik, straight A's, nak A semua, lebih banyak A lebih bagus. Saya tidak bersetuju dengan pendekatan sebegitu. Walaupun kita nak tekankan pencapaian akademik yang cemerlang tetapi jangan sampai itu yang lebih diutamakan. Ini kerana pembentukan sahsiah juga sama penting. Penting ada kreativiti, inovasi, bidang yang boleh menokok tambah kemahiran, berkaitan kokurikulum, soal kepemimpinan di sekolah, ruang untuk kreatif, interaksi. Banyak aspek dari segi pembelajaran yang tak tertumpu kepada bilik darjah, ini semua mesti diberi kredit. Sebab itu saya minta sukan dibawa semula ke sekolah. Di negara maju sukan jadi komponen penting tak pernah berubah. Sudah beratus tahun di Britain, Amerika sukan jadi komponen penting. Di Malaysia sudah agak merosot, jadi kita nak bawa balik nilai kesukanan kerana dalam kesukanan ada esprit de corp lebih lagi di Malaysia kerana kita mahu wujud kesefahaman antara kaum dan agama. Sukan boleh tembusi tembok-tembok sebegini, jadi inilah yang kita mahu, supaya dalam sistem pendidikan kita tidak hanya dinilai pencapaian akademik kerana akhirnya nanti mereka akan menjadi anggota dalam masyarakat. Tentunya kita tidak mahu melihat orang yang hanya faham matapelajaran di sekolah tetapi soal nak menghadapi dunia lebih mencabar, nak berfikir secara matang, menjurus soal-soal lain mereka tidak ada keupayaan. Jadi sebab itu kita nak lihat sistem pembelajaran tidak tertumpu kepada soal peperiksaan. Ini bermakna kurikulum kita kena nilai balik di mana ruang yang boleh. Lebih penting lagi latihan guru. Kepemimpinan guru untuk membimbing bukan hanya soal ada buku teks atau silibus tetapi lebih daripada itu. Soal latihan perguruan kita berikan perhatian dan tumpuan juga.

Setakat ini bagaimana pencapaian NKRA selepas dilancarkan awal tahun ini?

MUHYIDDIN YASSIN: Daripada 1,353 prasekolah yang dirancang untuk beroperasi pada tahun ini, sebanyak 987 telah beroperasi. Masalah utama Kemajuan Masyarakat (Kemas) kerana pada masa ini guru-guru untuk prasekolah sedang mengikuti latihan. Bagaimanapun masalah tersebut akan diselesaikan pada Jun ini.

Selain itu sebanyak empat kelas prasekolah tambahan akan dibina di rumah panjang Sarawak dan empat lagi akan di Sabah.

Untuk LINUS, saringan awal telah dijalankan di seluruh negara dan didapati kira-kira 89 peratus sekolah rendah telah mengisi maklumat pencapaian saringan awal LINUS. Didapati 37 peratus murid Tahun 1 melepasi tahap literasi yang ditetapkan dan 46 peratus Tahun 1 melepasi tahap numerasi.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url