Merokok di usia 4 tahun bukan lagi keanehan
borhan.samah@utusan.com.my
INDONESIA memang terkenal dengan pelbagai jenis rokok. Puluhan ribu perusahaan yang menggunakan jutaan tenaga kerja dalam industri tersebut. Ia juga menjadi salah satu faktor membantu menjana ekonomi negara itu.
Jadi tidak hairanlah jika perokok di Malaysia turut menggilai pelbagai jenis rokok yang dihasilkan di sini.
Setiap tahun kira-kira 225 juta batang rokok 'dibakar' oleh kira-kira 60 juta perokok di Indonesia.
Sejajar dengan status Indonesia sebagai negara Islam terbesar di dunia, kira-kira 95 peratus atau kira-kira 6 juta orang tenaga kerja Islam bekerja di kilang-kilang tembakau atau memproses rokok.
Ketika usaha mewartakan rokok sebagai bahan yang merbahaya, senarai kandungan bahan berbahaya di dalam rokok hilang daripada draf rang undang-undang tersebut.
Timbul kekecohan seketika, bagaimanapun perbuatan tersebut disyaki dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan dalam industri tersebut.
Masalah tersebut sempat disedari, dikesan serta diperbetulkan. Jika tidak undang-undang tersebut hanya akan menjadi bahan jenaka terutama di kalangan pengusaha rokok yang berjaya mempermainkan institusi tertinggi pemerintahan sebuah negara iaitu Parlimen.
Cadangan Majlis Ulama Indonesia mahu mengharamkan rokok juga mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk para pemimpin utama di Indonesia yang menyifatkannya sebagai tidak wajar dan tidak tepat.
Begitulah besarnya pengaruh industri rokok di Indonesia sehingga ramai pengusaha dalam bidang berkenaan muncul sebagai antara yang terkaya di Indonesia bahkan Asia Tenggara.
Gedung-gedung mewah di Jakarta juga banyak yang berdiri hasil daripada rokok yang dibakar kebanyakannya oleh perokok berpendapatan rendah.
Selain itu liga bola sepak tempatan sahaja dipenuhi dengan tajaan syarikat rokok, begitu juga dengan acara-acara sukan utama lain seperti badminton dan bola tampar.
Media massa khususnya televisyen juga tidak sanggup menjadikan isu rokok sebagai isu yang utama kerana ia merupakan sumber pendapatan terbesar bagi mereka.
Berita panas
Rakyat Indonesia masih dapat menonton perlawanan bola sepak dan tinju antarabangsa secara percuma semata-mata kerana jasanya tajaan syarikat rokok.
Jadi kisah kanak-kanak berusia 4 tahun merokok dan bercakap bahasa kasar yang dipaparkan di You Tube, bukanlah satu berita panas di Indonesia.
Walaupun dunia terkejut dengan situasi itu, tetapi di Indonesia ia hanyalah satu jenaka.
Apa tidaknya anak-anak terbiar yang tidak diketahui siapa ibu dan bapanya di Jakarta sahaja dianggarkan berjumlah kira-kira 30,000 orang.
Baru-baru ini terbongkar kisah menyayat hati apabila kanak-kanak jalanan ini dijadikan mangsa untuk memuaskan nafsu lelaki dewasa.
Lelaki bernama Babe setelah ditangkap polis mengaku telah meliwat dan membunuh 14 kanak-kanak jalanan. Namun seperti biasa ia hanya sekejap sahaja. Apabila media massa membangkitkan isu tersebut pihak berkuasa berkenaan melakukan operasi, tetapi selepas itu ia kembali seperti asalnya.
Masalah itu berlaku di kalangan bawahan yang jangankan untuk mendapat kediaman sewajarnya dan mengatur keluarga dengan baik, bahkan makannya sahaja belum pasti cukup tiga kali sehari.
Jika di negara lain kes kanak-kanak berusia empat tahun itu akan mendapat perhatian menteri dan pelbagai pihak yang lain, namun di Indonesia pihak yang bersungguh-sungguh membantu keluarga berkenaan hanyalah badan bukan kerajaan.
Ini kerana kerajaan mempunyai isu-isu lain yang lebih berat dan besar, seperti menangani masalah rasuah yang tidak pernah mahu surut daripada darah dan daging Indonesia.
Akhbar Jakarta Globe melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia, Seto Mulyadi menemui kanak-kanak berkenaan serta keluarganya di Malang yang terletak di Jawa Tengah.
Ibu bapa kanak-kanak itu memberitahu, anak mereka telah biasa menghisap rokok sekotak setiap hari sejak berusia 18 bulan.
Di dalam video Youtube itu kanak-kanak lelaki berkenaan menghisap rokok sambil berbual-bual dengan dengan orang dewasa menceritakan pelbagai perkara dengan perkataan kasar termasuk tempat kegemarannya adalah Dolly iaitu kawasan hiburan malam di Surabaya.
Menurut Seto, kanak-kanak itu membesar di dalam persekitaran termasuk kedua-dua ibu bapanya menghisap rokok.
Bagi menghentikan tabiat itu, kata Seto, adalah sukar. Beliau meminta jiran-jiran tetangga membantu kanak-kanak berkenaan menghilangkan ketagihan merokok.
"Kanak-kanak harus bermain dengan kanak-kanak dan bukan bergaul dengan orang dewasa," katanya.
Pihak hospital juga bersetuju merawat kanak-kanak tersebut bagi membuang tabiat merokok.
Mengenai kata-kata kesat yang digunakan, kata Seto, kanak-kanak biasanya mudah meniru perbuatan orang dewasa dan kanak-kanak itu seorang yang cerdas.
"Dia memberitahu saya dia mahu menjadi tentera darat apabila dewasa kelak," kata Seto.
- MINGGUAN MALAYSIA