Top Ad 728x90

Celcom tewaskan Softbank

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kemampuan luar biasa Celcom Axiata Bhd. (Celcom) kekalkan prestasi pertumbuhan 15 sukuan tahun secara berturut-turut, berjaya mengatasi rekod yang dipegang oleh syarikat telekomunikasi Jepun, Softbank.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, pencapaian itu meletakkan Celcom bukan sahaja penyedia telekomunikasi nombor satu di Malaysia tetapi juga di rantau ini.

''Kami bukan sekadar mencatatkan pertumbuhan keuntungan semata-mata tetapi berjaya merekodkan pertumbuhan perolehan dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI).

''Bukan semua syarikat mampu mencatatkan prestasi kewangan sebegini tetapi kakitangan Celcom berjaya membuktikannya,'' katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Fortune World's Most Admired Companies 2010 di sini hari ini.

Di sebalik kejayaan itu, Shazalli menyifatkan Celcom baru sahaja 'keluar daripada keadaan sukar' dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dirancang untuk memastikan syarikat telekomunikasi itu meninggalkan jauh para pesaingnya dari seluruh aspek.

Ketika berkongsi pengalamannya dalam mentransformasikan Celcom pada 2005, Shazalli menyifatkan ia merupakan satu tugas yang cukup berat dan mencabar keupayaannya.

Katanya, ketika beliau menerima arahan memimpin syarikat itu, harga saham Celcom bukan sahaja mengalami kejatuhan tetapi tinjauan mendapati 70 peratus daripada 3,800 kakitangannya mahu meninggalkan syarikat berkenaan.

''Cuba bayangkan kalau silap percaturan, saya juga boleh tersingkir,'' ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau mengakui inisiatif yang diperkenalkan untuk mentransformasikan Celcom telah berjaya dilaksana dengan pemantauan yang begitu terperinci.

Walaupun syarikat sudah berada pada landasannya, Celcom akan terus memperbaiki momentum untuk memperbaiki prestasi semasa.

Ini kerana, beliau percaya, para pesaingnya turut melaksanakan langkah agresif untuk merampas kedudukan nombor satu yang dipegangnya kini.

''Sebab itu, saya sering menyatakan kepada kakitangan Celcom bahawa syarikat ini masih dalam keadaan 'berperang'.

''Dan untuk memastikan Celcom berjaya dalam peperangan tersebut, kita akan terus memperkenalkan inovasi, seiring dengan keperluan semasa dan memenuhi jangkaan para pelanggan kami,'' tambahnya.

Shazalli menyifatkan kemudahan dan inovasi mudah alih sekarang seumpama 'rokok' yang sentiasa ditagih oleh para penggunanya.

Berikutan itu, tambah beliau, Celcom perlu pantas dalam memperkenalkan inovasi baru bukan sahaja untuk mengekalkan pelanggan sedia ada sebaliknya 'merampas' pelanggan para pesaingnya.

Celcom kini merupakan pemimpin dalam penyedia jalur lebar dengan unjuran pengguna sebanyak 1.2 juta menjelang akhir tahun ini berbanding 600,000 sekarang.

Malah, Shazalli berkata, jualan bagi perkhidmatan kad prabayarnya juga meningkat dengan begitu baik kepada RM11 juta sehari berbanding RM3 juta pada 2005.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90