Direktori ke alam rumah tangga

Membina mahligai perkahwinan sememangnya sesuatu yang harus difikirkan dengan serius kerana ia disifatkan sebagai satu peristiwa yang berlaku sekali dalam sepanjang hayat.

Sebelum diadakan sebarang majlis perkahwinan, pastinya pelbagai perancangan dibuat untuk majlis berkenaan berjalan lancar.

Maklumlah melaksanakan sebuah majlis perkahwinan sudah tentu memerlukan satu komitmen yang besar di kalangan anggota keluarga.

Ketika ini ahli-ahli keluarga terutama ibu bapa pasangan mempelai akan sibuk menentukan pengendalian majlis yang bakal diadakan berjalan meriah.

Bertepatan dengan itu, Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), salah sebuah anak syarikat Kumpulan Utusan, tidak melepaskan peluang dengan menerbitkan majalah Direktori Perkahwinan yang menampilkan pelbagai maklumat sebagai bahan rujukan mengenai persiapan di hari bahagia.

Pelancaran majalah itu disempurnakan oleh Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan tunang beliau, Dr. Halina Mohd. Yunos.

Harlina turut menjadi penghias muka depan terbitan sulung majalah tersebut.

Pengarang Kanan, Unit Majalah Keluarga UKSB, Normala Hamzah memberitahu, ia merupakan majalah pertama di Malaysia yang mengumpulkan segala maklumat dan persediaan melangkah ke alam rumah tangga.

''Direktori Perkahwinan ini bukan sahaja menampilkan pengisian dan pelbagai maklumat menarik tetapi sebagai bahan rujukan keluarga yang memerlukan panduan dari hujung rambut hingga hujung kaki.

''Penerbitan majalah ini bukan sekadar pengisian yang padat dan terkini berkaitan perkahwinan tetapi merupakan bahan rujukan terbaik untuk bakal pengantin yang memerlukan tip menuju ke gerbang perkahwinan,'' katanya ketika ditemui di majlis pelancaran baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman.

Normala memberitahu, melangkah ke alam perkahwinan bukanlah sesuatu kerja mudah kerana ia memerlukan ketelitian dalam memastikan kerja-kerja penting dapat berjalan dengan lancar, malah perancangan yang tepat adalah sesuatu yang amat penting.

Oleh itu katanya , kewujudan direktori itu pastinya dapat memudahkan kerja-kerja tersebut

Jelasnya, buku tersebut mampu menarik minat pembaca bagi mereka yang sedang membuat persediaan dan persiapan menghadapi hari perkahwinan.

Bakal diterbitkan tiga kali setahun, dengan paparan yang menarik, malah harga yang dijual juga mampu dimiliki oleh semua pihak dengan harga RM29.90.

Tambah Normala, bahan bacaan setebal 260 itu bukan sekadar mampu membantu bakal pengantin dari sudut persiapan dan persediaan majlis tetapi turut memberi tumpuan pada himpunan koleksi andaman, fesyen, persalinan, aksesori dan hiasan serta direktori kelengkapan perkahwinan.

Selain itu katanya, direktori ini bukan sekadar memberikan maklumat kepada bakal pengantin Melayu semata-mata tetapi lebih berkonsepkan 1Malaysia.

''Inilah keunikan majalah ini, bukan sekadar kepada masyarakat Melayu semata-mata tetapi turut memberi maklumat perkahwinan masyarakat lain,'' ujarnya.

Katanya lagi, dengan kelahiran majalah ini, ia mampu mengurangkan kegusaran bakal pengantin dalam membuat persediaan melangkah ke alam perkahwinan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url