Youth Town, macam-macam ada!

Macam-macam ada! Bermula daripada koleksi pakaian, makanan, pameran, cenderahati yang sukar ditemui di kedai biasa, semuanya boleh dibeli di Youth Town atau 'Bandar Belia' sepanjang sambutan Hari Belia Negara di Putrajaya selama tiga hari bermula 14 Mei 2010 ini.

Sudah pasti pengalaman membeli-belah tidak akan menjadi sesuatu yang membosankan. Sebabnya, kunjungan anda akan diiringi persembahan hiburan segar dan mantap daripada kumpulan-kumpulan Indie di pentas khas.

Dalam pada itu, pengunjung yang meminati aktiviti-aktiviti lasak juga berpeluang mengeluarkan peluh mereka dengan mencuba kelengkapan sukan ekstrem seperti wall climbing dan flying fox.

Selain itu, mana-mana belia yang berminat menceburi perniagaan tetapi bimbang kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, tidak perlu takut. Ini kerana para peniaga di Youth Town sedia membantu merealisasikan impian mereka setiap masa.

Penganjurnya, Rakan Muda dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Belia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Youth) menyediakan bantuan kepada bakal usahawan melalui konsep mentor-mentee dengan pada masa sama sedia memperturunkan ilmu-ilmu lain.

Pada Hari Belia Negara ini, Youth Town akan membuat penampilan pertama sebelum disusuli dengan jelajah di seluruh negara.

Ia akan diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan memberi peluang sama rata kepada usahawan dan ahli Youth berdaftar untuk mengambil bahagian.

Youth Town ini mengambil konsep seperti bazar larut malam atau Up Town dengan hanya menawarkan barangan istimewa dan unik serta baru di pasaran yang kebanyakannya sukar diperoleh di kedai-kedai biasa.

Ia menjadi platform terbaik kepada peniaga 'tegar' belia yang menceburi perniagaan secara sepenuh masa untuk memasarkan barangan mereka secara terus kepada pelanggan.

Sesuai dengan temanya, 'Daripada Belia, Untuk Belia, Oleh Belia', 50 gerai sebagai permulaan yang disediakan penganjur laku bak pisang goreng panas. Bayaran sewa tapaknya juga amat berpatutan, ditambah lokasinya yang strategik.

Objektif Youth Town amat jelas iaitu mencipta peluang perniagaan kepada golongan belia, membantu menjana ekonomi secara sistematik, sekali gus meningkatkan jumlah usahawan belia.

Ia juga bertujuan membantu golongan belia menambah keyakinan diri untuk sentiasa bersemangat membaiki taraf hidup dan kualiti diri.

Semuanya mampu direalisasikan dengan teknik dan bimbingan yang diberikan supaya lebih cemerlang dalam perniagaan yang diceburi.

Usahawan yang terlibat, secara tidak langsung berpeluang menguasai kualiti kepimpinan dan pengurusan terbaik serta keupayaan menguasai amalan komunikasi berkesan.

Salah seorang peniaga yang mengambil bahagian dalam Youth Town itu, Mohd. Shahrul Azri Othman, 28, bersama isterinya Siti Noorikha Mahbob, 27, mempunyai 'kejutan' kepada pengunjung melalui produk makanannya, springtato.

Produk yang sekali makan pasti mahu lagi itu yang digoreng segar daripada ubi kentang terbaik mempunyai beberapa perasa seperti masam manis dan lada hitam.

"Produk yang sedap dimakan semasa panas ini masih baru dalam pasaran dan kebanyakan yang menjualnya di tapak-tapak pasar tani dan pasar malam adalah ahli keluarga saya.

"Makanan ini sebenarnya amat popular di Korea, mesin yang digunakan juga diimport terus dari negara itu, melalui abang ipar saya yang merupakan seorang rakyat Korea," kata Siti Noorikha yang sedia berkongsi perniagaan itu dengan belia yang berminat.

Beliau yang terdedah dengan pelbagai pengalaman perniagaan keluarga sejak kecil lagi amat beruntung kerana bertemu jodoh dengan Mohd. Shahrul, seorang lulusan bidang elektrikal dari Universiti Teknologi Malaysia.

Bagi Mohd. Shahrul, jodohnya bukan sahaja dengan Siti Noorikha tetapi juga terhadap perniagaan walaupun mempunyai diploma dan kepakaran dalam bidang lain.

"Saya sudah mencuba bekerja dalam pelbagai sektor terutama swasta, tetapi semuanya seperti tidak serasi dan apabila menceburi perniagaan, saya menemui kepuasan tertinggi.

"Walaupun kadang-kadang pengalaman agak perit semasa jatuh tetapi percayalah kepuasan amat lain macam, kitalah pekerja dan kita juga ketua, malah ia juga menjadi inspirasi kepada saya untuk berusaha lebih gigih lagi," katanya yang pernah memperoleh pendapatan kasar RM3,000 daripada perniagaan spring potato sehari.

Tambah beliau, perniagaan spring potato bukannya yang pertama sebaliknya telah mencuba pelbagai perniagaan sebelum ini termasuk penternakan lintah dan sebagainya.

Dalam pada itu, mereka berdua merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Rakan Muda serta Youth yang memberi peluang terbaik kepada usahawan belia untuk berjaya dalam bidang keusahawanan.

Katanya, usaha KBS menganjurkan Youth Town itu amat wajar direbut peluangnya oleh golongan belia kerana percayalah kerajaan ikhlas membantu tanpa langsung sebarang agenda tersembunyi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url