DNA proton warisan Satria
Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR
irwan@majalahkereta.com.my
Secara peribadi saya terpaksa mengakui bahawa kereta-kereta Proton pasca Mitsubishi tidak ada satu pun yang menarik minat. Baik rupa bentuk atau teknologi enjin.
Apatah lagi perkara-perkara kecil seperti kualiti plastik, suis isyarat membelok sebelah kiri, suis tingkap kuasa yang pelik dan kualiti ketahanan peralatan yang sering dipersoalkan.
Namun hakikat sebuah kereta tempatan yang dibangunkan kini sepenuhnya dengan kejuruteraan nasional, Proton telah memasuki era penghasilan kenderaan yang hampir sepenuhnya tidak bergantung kepada royalti daripada syarikat lain.
Itu lebih baik daripada syarikat berstatus tempatan yang mengambil kereta lain dan diletak logo sendiri serta mengaku tempatan.
Setelah Neo diperkenalkan, pendirian saya terhadap Proton sedikit berubah. Setidak-tidaknya saya percaya, walaupun pasarannya kecil, Proton memiliki jurutera yang berkebolehan menghasilkan kereta yang cukup sporty. Malah, rekaan Neo lebih baik daripada kebanyakan kereta buatan Jepun dan Korea yang pernah dibina dengan konsep sebegini.
Jika kereta ini dibawa ke Amerika Syarikat (AS) dan diletakkan dengan logo VW atau Scion, saya percaya ramai yang tidak akan perasan.
Secara konsepnya, saya melihat Neo sebagai sebuah kereta yang sporty dan bergaya. Ketepikan dahulu soal enjinnya. Enjinnya mencakupi kos yang besar dalam pembikinan sesebuah kereta.
Untuk menjadi sebuah pembuat kereta bebas yang berjaya Proton juga perlu mengeksploitasi penggunaan enjin dengan meluas dan memaksimumkan sebaran model yang boleh digunakannya.
Walaupun dalam usaha membangunkan enjin baru yang lebih berdaya saing, enjin SP4H Campro itu secara matematiknya masih perlu digunakan untuk tahun-tahun mendatang. Ia bagi memastikan pelaburannya berbaloi untuk dilaburkan semula untuk enjin generasi baru (Phoenix mungkin?)
Jika anda seorang yang mementingkan saiz, lupakan Satria Neo. Lebih baik pesan saja sebuah Exora. Neo dicipta bukan untuk keluarga. Ruang dalamannya lebih kompak daripada Satria terdahulu. Model itu dibangunkan untuk sasaran anak muda yang inginkan sebuah hatchback sporty yang mampu dibeli.
Neo memenuhi aspek tersebut kecuali ruang kepalanya yang sangat rapat menyebabkan saya rasa kurang selesa untuk memandu. Ketinggian saya ialah 1.8 meter dan posisi memandu terpaksa disesuaikan beberapa kali sebelum memulakan perjalanan jauh ke Gurun Kedah.
Bagaimanapun, tempat duduknya memiliki kontur yang cukup bagus. Mungkin kerana ia sesuai dengan saiz badan. Walaupun kawan saya agak rendah iaitu 160 sentimeter beliau masih rasa kurang selesa di bahagian kepala kerana saiz badan menginjakkan posisi duduk ke hadapan.
Ia membawa pemandu rapat ke tiang A hingga hampir menyentuh penghadang matahari. Kedudukan pedal kakinya agak jauh dan stereng yang tidak boleh dilaras posisi jauh-dekat. Mungkin juga kami sudah begitu lama tidak memandu kereta bertransmisi manual, jadi posisi pemanduan jadi satu keresahan di sepanjang perjalanan.
Enjin Campro CPS pada Neo dianggap sebagai versi tertinggi yang digunakan pada kereta-kereta Proton. Dengan sejumlah 125 kuasa kuda, enjin itu agak responsif untuk sebuah kereta yang dicipta untuk tujuan itu.
Sebaik RPM mencecah 5,000 hingga 6,000 rpm, injap lobe ketiganya menjerit dan menghasilkan momentum anjakan yang mengingatkan saya kepada enjin-enjin VTEC yang meraung tatkala VTEC beroperasi.
Bunyinya lunak didengar dan jika cukup rakus, pecut sahaja kereta itu dengan gear-gear rendah pada takat rpm maksimum. Sistem nisbah gearnya secocok dengan penghasilan kuasa yang dihasilkan. Justeru, kuasa bukanlah masalah langsung pada Neo dan lebih menarik lagi, digabungkan dengan pengendalian yang bagus.
Pengendalian yang baik bukan dinilai dari segi kepantasan semata-mata, ia adalah tentang dinamik keseluruhan yang perlu disepadukan. Neo didatangkan dengan satu pakej lengkap.
Saya teringatkan kata-kata Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel sewaktu memandu Neo R3 edisi Lotus. Menurut beliau, casis kereta itu lebih daripada cukup untuk menampung sejumlah kuasa yang ditingkatkan. Walaupun kerangkanya kecil dari segi saiz, ia cukup rigid, jitu tetapi mudah dikawal.
Pergerakan sterengnya tipikal pengendalian Lotus yang tidak akan anda peroleh pada sebuah kereta berharga RM60,000. Walaupun ramai yang skeptikal dengan Proton, percayalah pengendalian kereta itu menutup cerita kisah kelemahan yang lain.
Stereng mengikut arahan dengan pantas, ke mana sahaja yang anda mahukan, sama ada dipulas cepat secara paksa atau meluncur selekoh panjang pada kelajuan cahaya. Seperti yang dinyatakan, ia adalah tentang dinamik casis, kuasa dan pengendalian. Kesemuanya berjaya disepadukan untuk mencipta sebuah mesin yang lincah dan seronok dipandu.
Enjin dan suspensi sahaja tidak akan menarik minat pembeli jika rupa bentuk tidak diambil kira. Berbeza dengan negara maju yang mementingkan pakej (keselamatan/aksesori/servis selepas jualan) pembeli negara-negara membangun di Asia sangat kritikal tentang rupa bentuk.
Dari sudut itu Proton berjaya menghasilkan sebuah rekaan yang menarik. Susunan lampu depan dan belakangnya gaya Eropah, begitu juga dengan kontur tepi dengan arca roda yang lebar dan antena ekor lebah (B-Sting)
Sementara itu, garis badan, rekaan bumper dan bumbung tirusnya boleh memperlihatkan inspirasi kereta-kereta sports Jepun era 90-an. Cuma kedudukan rodanya yang agak terperosok ke dalam berbanding versi Lotus yang nampak gagah apabila tayar berkedudukan selari dengan arca roda yang lebar itu. Ia berkenaan saiz offset rim yang terlalu besar (ET46mm) berbanding ukuran yang sepadan iaitu ET40mm.
Pada harga RM57,000 tidak ada kereta lagi yang seumpamanya direka pada tangga harga begini. Jangan bandingkan dengan Hyundai Getz 3 pintu atau mungkin saingan terdekatnya Swift Sport. Neo CPS adalah asid deoksiribunekleik (DNA) Proton yang lahir daripada warisan Satria.
- KOSMO!