Top Ad 728x90

,

Fahami falsafah kewujudan polis

Oleh Shamrahayu A Aziz
Pakar Perlembagaan dan Pensyarah
Kuliyyah Undang-Undang
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Antara isu yang terus bersarang di minda masyarakat sehingga ke hari ini, sudah pasti membabitkan pasukan polis. Malah pasukan ini antara perkhidmatan awam yang sering dinilai masyarakat tahap perkhidmatan dan pencapaiannya. Mungkin ramai tidak menyedarinya, tetapi ini disebabkan bidang tugas pasukan polis yang sebegitu intim dengan kehidupan masyarakat.

Tidak dinafikan, pasukan polis yang cekap, bersih, tegas, amanah, berdedikasi dan berintegriti adalah impian semua. Namun, indeks jenayah yang tinggi, ketidakcekapan polis, masalah pentadbiran dan pengurusan, serta publisiti negatif dan sensasi terhadap polis menjadi aspek penilaian masyarakat mengenai perkhidmatan pasukan polis sejak akhir-akhir ini.

Namun, apa yang menghampakan ialah sikap masyarakat dalam mengawal selia anggota mereka dan sering kali dipinggirkan daripada perdebatan umum, contohnya kegagalan ibu bapa mengawal selia anak mereka dengan baik atau ahli masyarakat yang gagal melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak kepada pihak berkuasa.

Penilaian terhadap tahap perkhidmatan dan pencapaian pasukan polis, sama ada berkaitan fungsi dan tugasnya atau pentadbiran dan pengurusannya memerlukan seseorang itu mempunyai minda terbuka dan menghayati falsafah atau prinsip kepolisan. Dalam aspek pentadbiran dan pengurusan, ia mungkin sedikit berbeza dengan pentadbiran dan pengurusan jabatan awam lain kerana ia mengendalikan perkara penting dan asas dalam sesebuah negara, iaitu kestabilan dan keselamatan negara. Ini menjadikan pentadbiran serta pengurusan pasukan polis bukanlah semudah anggapan ‘orang luar’ daripada pasukan. Penggunaan beberapa sistem penilaian tahap kecekapan yang diperkenalkan ada kalanya memberi kesan berbeza antara pasukan polis dan perkhidmatan awam lain.

Merujuk aspek pengendalian tugas, beban tugas dan tanggungjawab pasukan polis tidak semudah seperti dilihat di kaca televisyen atau di skrin lebar. Tugas sebenar polis lebih daripada menerima panggilan telefon dan bergegas ke tempat kejadian jenayah yang dilaporkan dan dapat menyelesaikan sesuatu masalah dalam jangka masa satu jam saja seperti yang digambarkan drama televisyen.

Hanya mereka yang terlatih di dalam bidang kepolisan memahami hakikat tugas se benar pasukan polis. Malah ahli akademik yang berjela panjang biodata penulisannya, juga masih belum tentu memahami hakikat sebenar kerja kepolisan di lapangan.
Pasukan polis terbabit dalam interaksi antara manusia yang rumit dan ada kalanya amat luar biasa serta tidak tercapai akal manusia normal. Tambahan pula ada aspek tugas kepolisan tidak boleh atau mudah ditafsir penyelia seperti membuat keputusan dalam keadaan genting yang memerlukan seorang polis bertindak bagi tempoh masa, ada kalanya kurang sesaat. Sifat tugas kepolisan dalam banyak keadaan memerlukan mereka membuat keputusan dalam tekanan, bahaya dan kekeliruan.

Pada pengamatan saya, sekiranya dibandingkan tugasan seorang pakar bedah dan pegawai polis, kedua-duanya mungkin ada persamaan, iaitu terpaksa membuat keputusan mengenai hidup dan mati seseorang dalam keadaan tekanan dan kekeliruan. Tugas polis sebaliknya jauh lebih berbahaya kerana ia membabitkan banyak pihak yang tidak bersalah, termasuk diri polis itu sendiri. Namun penerimaan masyarakat kadang kala amat berlainan sekali bagi kedua-dua profesion ini.

Kita perlu memahami falsafah kewujudan pasukan polis serta kedudukannya di dalam masyarakat. Pembentukan pasukan polis ialah membolehkan majoriti, kalau pun bukan semua, ahli masyarakat berasa selesa, aman dan terjamin akan keselamatan mereka. Dalam menentukan keselesaan, keamanan dan jaminan keselamatan masyarakat, sudah tentu pasukan polis memerlukan pembabitan ahli masyarakat itu sendiri selain undang-undang lengkap dan kalangan anggota dan pegawai yang cekap.

Mengikut perundangan yang ada, terutama undang-undang berkaitan prosedur jenayah misalnya, masyarakat mempunyai peranan undang-undang untuk membantu polis bagi menguat kuasa undang-undang dengan cara memberikan maklumat atau membantu polis di dalam menjalankan prosedur yang lain (sebagai contoh lihat seksyen-seksyen 11, 12 dan 13 Kanun Prosedur Jenayah).

Namun begitu, peruntukan undang-undang ini tidak menyediakan hukuman ke atas sebarang kegagalan membantu pasukan polis.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90