Kartunis Amerika minta maaf
Molly Norris memohon kemaafan orang Islam yang marah dengan kartun di blog miliknya meskipun karikatur itu berunsur satira, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), semalam.
Tindakannya menyebabkan orang lain membuka laman di Facebook sebagai menyokong kempen digelar ‘Everybody Draw Muhammad Day’ (Hari Melakar Nabi Muhammad) hingga mencetuskan bantahan di Pakistan yang mengarahkan laman web itu disekat.
Khamis lalu, Pakistan juga menyekat laman web YouTube atas sebab yang sama ketika lebih banyak kempen dirancang ke atas Facebook.
Norris melakar kartun itu pada April lalu kerana membantah keputusan stesen Comedy Central membatalkan satu episod South Park memaparkan imej Nabi.
Ia menyebabkan Norris melakar kartun Nabi di laman webnya dan mencadangkan 20 Mei sebagai ‘Hari Melakar Nabi Muhammad’ yang disusuli dengan langkah pengguna siber menggunakan Facebook untuk menyertai usaha itu.
Norris kemudian menegaskan, beliau tidak mengesyorkan langkah itu kepada orang lain meskipun namanya digunakan sebagai alasan.
“Saya tidak pernah membuka laman Facebook untuk tujuan itu termasuk menyuruh mereka menghantar lakaran kepada saya dan saya juga tidak pernah menerimanya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau meminta maaf atas peranannya dalam kontroversi berkenaan sambil menerima pandangan bahawa kandungan gambar Nabi Muhammad mencetuskan kemarahan umat Islam yang tidak pernah cuba menyekat kebebasan bersuara orang lain.
YouTube pula memberitahu, ia sedang mengkaji perkara itu bagi memulihkan khidmatnya kepada pengguna secepat mungkin.
– Agensi