Kenapa polis menjadi seperti musuh masyarakat?

Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Kes remaja di Negeri Sembilan ditembak polis semacam satu ulangan cerita Luncai yang diolah dengan rumbu-ramba yang berbeza. Sebelumnya seorang remaja ditembak hingga menemui ajalnya di Selangor, entah esok lusa siapa pula yang akan menjadi mangsa?

Tiba-tiba ramai pula kelihatannya ingin menjadi hero, pembela malah melabelkan pihak berkuasa berkenaan dengan pelbagai nama. Mereka telah diadili sambil memberikan justifikasi hanya melalui laporan pelbagai media.

Malangnya, pihak pengurusan kanan polis sendiri nampaknya menjadi seperti buntu sehingga bertindak latah dalam memberikan respons secara tidak profesional dan menggambarkan ego yang tinggi tanpa menurut prosedur amalan komunikasi yang berhemah.

Ketara benar bahawa pasukan keselamatan ini terlalu tertekan dengan pelbagai situasi semasa sehingga meletakkan mereka pada kedudukan yang begitu 'rapuh' kepada tohmahan.

Oleh kerana fungsi mereka menjaga keamanan, ketenteraman awam dan membanteras serta mencegah jenayah telah membukakan ruang kepada masyarakat menjadi hakim sebelum siasatan sepenuh dilaksanakan.

Agaknya slogan-slogan sebelum ini seperti 'Polis dan masyarakat berpisah tiada', 'Cekap dan Betul,' dan 'Berintegriti' sudah kehilangan taringnya. Semacam ada yang tidak kena, agaknya Pelan Strategi Lima Tahun PDRM (PS5T) yang diuar-uarkan sebelum ini bermula dari tahun 2006-2011 gagal mencapai matlamatnya?

Walhal, melalui pelan berkenaan pelbagai pembaharuan telah digariskan. Malah gaji anggota sudah beberapa kali disemak dan pelbagai kenaikan pangkat serta penstrukturan sudah dilaksanakan. Tempoh pelan berkenaan akan berakhir hanya satu tahun sahaja lagi, ia sudah dipenghujung tetapi sudahkah dibuat kajian mengenai kejayaan pelan berkenaan?

Apakah semua yang direncanakan dan dilancarkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi mantan Perdana Menteri itu benar-benar dipatuhi ataupun hanya sekedar satu lagi projek bagi show off semata-mata.

Tentu ramai yang menyedari dan menaruh harapan yang tinggi terhadap pelan berkenaan apabila ia diuar-uarkan begitu rupa. Sebaliknya, imej yang ada kini bukan semakin meningkat tetapi makin luntur.

Agak ganjil juga, apabila kesilapan yang sama masih berulang berkali-kali terutama yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Kita boleh mengatakan bahawa kali pertama bermakna silap, kali kedua adalah kebetulan dan bila berulang kali tentu ramai antara kita tahu istilah yang sesuai dengannya.

Masyarakat tentulah tidak berhak menjatuhkan hukuman dan melabelkan anggota yang menjalankan tugas untuk kepentingan mereka sebegitu rupa. Tetapi, pada masa yang sama, tentulah perkara ini tidak akan berlaku sekiranya semua pihak memperkasa prosedur dan tahu bertindak secara profesional.

Adalah menyedihkan, pada masa yang sama wujud kumpulan yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh malah menjadi anasir yang mengapi-apikan mangsa sehingga wujud satu persepsi polis di Malaysia ganas dan suka menggunakan senjata api secara wewenang.

Lebih dukacita, kumpulan yang sama meminta polis untuk bertindak tegas membanteras jenayah dan sentiasa memainkan indeks jenayah sebagai isu politik dan sering menuding jari kepada pasukan keselamatan ini seolah-olah mereka tidak menjalankan tugas. Tentulah ini akan meletakkan polis pada situasi serba salah seperti di telan mati emak diluah mati ayah.

Mungkin telah tiba masanya polis benar-benar membukakan pintu mereka kepada kemasukan pakar yang benar-benar berkeupayaan dalam memperkasakan mereka. Kerana anggota polis sebagaimana yang sedia dimaklumi pakar yang dilatih dalam bidang kepolisian semata-mata. Sedangkan dalam hal ehwal pentadbiran, latihan, komunikasi, pengurusan dan sebagainya bukanlah kepakaran mereka.

Kotak minda lama perlu dibuka, bukan setakat anjakan paradigma tetapi strategi baru perlu dilaksana dan tidak hanya tinggal di atas kertas semata-mata bagi memperkasa dan mentransformasikan organisasi mereka. Niat yang baik tidak akan mampu dibuktikan jika keputusan yang buruk sahaja yang menyerlah.

Kita tidak boleh mengatakan bahawa organisasi kita sudah berjaya sedangkan orang lain menyatakan sebaliknya. Tidak ada gunanya NKRA dan KPI yang berjela sekiranya rakyat melihat apa yang dikata tidak dapat dibuktikan dengan nyata selain hanya butiran-butiran angka yang tidak mempunyai justifikasi yang dapat dirasa, dilihat dengan mata dan diterjemah ke dalam kehidupan seharian.

Lihatlah benchmark negara-negara maju di mana anggota polis mereka hanya melakukan kerja-kerja kepolisian dan lain-lain urusan dilaksanakan oleh mereka yang benar-benar terlatih mengenainya.

Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu meningkatkan kerjasama dengan pasukan polis supaya tidak menyukarkan mereka melaksanakan tugas demi kebaikan bersama. Memang mudah mencari kesalahan orang lain, tapi tahukah apa pula tanggung jawab kita sendiri?

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url