Polis hanya anggap Aminulrasyid suspek

Polis Selangor menegaskan pihaknya tidak pernah melabel Aminulrasyid Amzah sebagai penjenayah seperti didakwa keluarganya, sebaliknya hanya mengesyaki mangsa melakukan jenayah ketika kereta yang dipandu remaja berusia 15 tahun itu dikejar polis.

Sehubungan itu, polis berpendapat tidak perlu meminta maaf kepada keluarga remaja seperti yang diminta, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

“Kita tidak pernah menggunakan perkataan penyamun tetapi suspek penjenayah selepas remaja terbabit dan rakannya tidak mengendahkan arahan anggota polis supaya menghentikan kereta mereka untuk diperiksa.

“Janganlah ada orang cuba pusing-pusing cakap... kita tak pernah kata mereka di dalam kereta itu penjenayah. Justeru, saya enggan dan tidak akan memohon maaf... tiada sebab mengapa saya perlu memohon maaf,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sehubungan itu, beliau yang kesal dengan sikap sesetengah pihak terus mengecam polis, berkata pihak yang patut memohon maaf ialah mereka yang membenarkan Aminulrasyid memandu kereta tanpa lesen.

"Ada pihak cuba hasut masyarakat, orang ramai dan remaja supaya salah faham dan benci polis. Sepatutnya pihak ini nasihat masyarakat, terutama remaja supaya patuhi peraturan, bukan terus menanam kebencian terhadap polis" katanya.

Kelmarin, keluarga Aminulrasyid memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, meminta maaf kepada mereka terutama ibu mangsa, atas apa yang berlaku.
Bapa saudara Aminulrasyid, Kamaruddin Hassan, berkata walaupun berterima kasih dengan pendakwaan terhadap seorang anggota polis peronda yang terbabit, keluarga mangsa meminta KDN dan Musa mencontohi tindakan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, meminta maaf daripada seorang remaja berusia 17 tahun, Mohd Azizi Aziz, yang cedera pada perut akibat ditembak polis apabila mangsa enggan memberhentikan motosikalnya, minggu lalu.

Keluarga Aminulrasyid juga merayu polis membersihkan nama Aminulrasyid daripada dilabelkan penjenayah.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Musa enggan menjawab pertanyaan media sama ada pihaknya akan melayan permintaan keluarga Aminulrasyid kerana khuatir akan mendatangkan implikasi dari segi perundangan berhubung kes itu.

Bagaimanapun, beliau menyatakan tidak mempunyai sebarang halangan jika hasil laporan Panel Khas KDN yang ditubuhkan khusus bagi memantau siasatan polis didedahkan kepada umum.

“Saya tidak mempunyai apa-apa masalah jika kandungan laporan panel itu mahu didedahkan, terutama berhubung prosedur standard operasi (SOP) kita dalam penggunaan senjata api ketika bertugas,” katanya

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url