Laman web punca penagih meningkat
Difahamkan, kebanyakan bahan rujukan itu dimuat turun secara percuma oleh penagih dadah untuk memproses sendiri bekalan, termasuk dijual kepada pelanggan masing-masing.
Sumber memberitahu Berita Harian, tiada kawalan khusus terhadap laman web atau blog sedemikian di negara ini, sebaliknya sekatan lebih bertumpu kepada laman pornografi atau yang memaparkan isu sensitif seperti politik, kaum dan agama.
“Jika dulu, penagih bergantung untuk bekalan mereka daripada pengedar. Bagaimanapun, kecanggihan teknologi internet memberi mereka kemudahan memproses sendiri bekalan dadah pada kos yang minimum.
“Ada yang mula-mula (membuat dadah) untuk kegunaan sendiri, kemudian menjadi pengedar hingga meraih keuntungan lumayan dan hidup mewah,” katanya.
Katanya, contoh terbaik ialah kes membabitkan pelakon terkenal, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, apabila polis merampas ‘pen drive’ mengandungi dokumen cara memproses methaphetamine (syabu) dari stor di rumahnya.
“Dokumen The Art of Methaphetamine Manufacture itu dipercayai dimuat turun dan memaparkan kaedah lengkap pemprosesan syabu, termasuk bahan campurannya. Ia turut disertakan teknik memproses secara visual.
“Ini yang dibimbangkan, kerana teknologi itu disalahgunakan bagi tujuan jenayah. Jika tidak ditangani, kita bimbang tidak mampu mencapai sasaran `Malaysia Sifar Dadah 2015’,” katanya.
Sepanjang Januari hingga Disember 2009, Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Bionadi) merekodkan 15,736 penagih di seluruh negara, meningkat 27.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya membabitkan 7,123 penagih baru dan selebihnya penagih berulang.
- BERITA HARIAN