Cuka wain tetap haram

Semua pihak terutama pengusaha makanan perlu sedar berhubung penggunaan cuka wain dalam industri makanan yang difatwakan haram pada 2006 bagi memastikan makanan yang dikeluarkan halal dan suci di sisi syarak.

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid, berkata walaupun fatwa mengenainya diputuskan empat tahun lalu, masih ramai kurang prihatin malah ada yang tidak faham berhubung larangan penggunaan bahan itu dalam penyediaan makanan halal.

Beliau berkata, penguatkuasaan berhubung penggunaan bahan itu dalam makanan di kalangan pengusaha makanan termasuk di hotel sukar dilakukan kerana ia bahan yang sukar dikesan.

“Biasanya cuka wain ini digunakan pada makanan seperti kek dan biskut termasuk di hotel, mungkin untuk membolehkan makanan tahan lebih lama atau menjadikannya lebih sedap.

“Sehubungan itu, kesedaran mengenainya penting. Pengusaha dan pengeluar makanan perlu mengisytiharkan penggunaan cuka wain jika ia terdapat dalam produk yang mereka pasarkan, atau tidak lagi menggunakan bahan itu dalam produk mereka.

“Sebab itu saya kata kesedaran, kerana jika mereka rahsiakan maka sukar untuk diketahui kebenarannya, melainkan diuji secara saintifik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penerangan Fatwa Hukum Cuka Wain di sini, semalam.
Keputusan mengharamkan cuka wain itu dipersetujui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ke-3 pada Jun 2006, selaras keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam dalam Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada April 2006.

Seminar sehari itu disertai peserta terdiri daripada pengusaha makanan serta hotel tanpa mengira agama bagi memahami proses pembuatan makanan dalam memastikannya adalah halal dan suci di sisi syarak.

Tamyes berkata, seminar itu adalah platform utama untuk pihaknya menyampaikan maklumat dan memberi penerangan secara terperinci mengenai ketetapan hukum berkenaan.

“Harapan utama saya adalah supaya pengusaha makanan tanpa mengira agama memahami proses pembuatan makanan dan memahami cita rasa orang Islam yang menjadi pelanggan terbesar bagi industri makanan dalam negara,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url