Sukuk 1Malaysia diterbit 21 Jun 2010

Kerajaan akan menerbitkan Sukuk 1Malaysia 2010 berjumlah RM3 bilion pada 21 Jun ini sebagai satu lagi pelaburan tambahan untuk rakyat. Sukuk atau bon Islam yang diterbitkan tanpa skrip itu dibuka langganannya untuk semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas.

Ia akan mempunyai tempoh matang tiga tahun dan menawarkan pulangan lima peratus setahun dengan bayaran pulangannya dibuat pada setiap tiga bulan.

Pelaburan minimum bagi Sukuk 1Malaysia 2010 ialah RM1,000, manakala pelaburan maksimum RM50,000.

“Pelabur boleh membuat permohonan ketika tempoh tawaran langganan dari 20 Mei hingga 9 Jun di kebanyakan bank perdagangan dan Bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank,” demikian menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan, semalam.

Mengikut kementerian itu, peruntukan sukuk berkenaan untuk setiap pelabur akan dilakukan selepas tamat tempoh tawaran langganan itu.

Menurut kenyataan itu, semua pelanggan diperuntukkan kurang daripada atau sehingga jumlah sukuk yang dipohon, bergantung bilangan pelanggan serta jumlah keseluruhan permohonan yang diterima.

“Pemohon berjaya dimaklumkan ejen bank mengenai jumlah sukuk yang diperuntukkan kepada mereka.

“Pulangan daripada pelaburan dalam sukuk ini juga dibayar menerusi akaun pemegang sukuk di bank ejen masing-masing,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, Sukuk 1Malaysia 2010 itu juga ditawarkan dengan ciri-ciri penjualan semula bertujuan memberikan fleksibiliti kepada pelaburnya untuk menjual dan membeli sukuk itu sebelum tempoh matangnya.

Katanya penjualan semula hanya selepas 22 Jun. Selepas itu pelabur boleh menjual semula atau membeli sukuk di bank ejen.

Kementerian Kewangan berkata, maklumat mengenai jumlah Sukuk 1Malaysia yang boleh dilanggan berserta harga hariannya diperoleh di laman web Bon Info Hub di www.rmbon.bnm.gov.my atau membuat semakan dengan bank ejen mereka.

Untuk maklumat lanjut hubungi Bank Negara Malaysia di 1300885465 atau layari www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuk1Malaysia
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url