Tuah tendang bola 51 kali
Siapa sangka, cubaan menjaringkan bola sebanyak 51 kali dalam masa dua minit membawa tuah kepada seorang remaja apabila dia berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
Kamarul Nidzam Kamaruz Zaman, 17, berjaya menewaskan 1,000 peserta yang hadir sempena Karnival World Football Heroes anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) di pusat beli-belah Queensbay, baru-baru ini.
Anak jati dari Taman Tun Sardon, Pulau Pinang itu tidak menyangka dia meraih kemenangan setelah puas mencuba nasib dengan membeli lebih 13 kali kad prabayar iTalk bertuah, termasuk dua kad yang dibeli pada hari terakhir karnival itu.
Malah, penyertaan Kamarul Nidzam dalam program tersebut juga sememangnya tidak dirancang. Katanya, maklumat mengenai program diperoleh daripada rakan-rakan yang juga kaki bola.
"Kemenangan ini di luar jangkaan. Walaupun telah menghabiskan sebanyak 13 kad yang bernilai RM130 tetapi tidak sangka dapat habuan wang sebanyak itu dalam sekelip mata.
"Walaupun 11 cubaan pada hari semalam gagal, saya cuba lagi hari ini dengan membeli dua kad dan cubaan kali ke-13 membawa tuah.
"Mungkin pengalaman menyertai pasukan bola di sekolah memberi peluang kepada saya menendang bola tepat ke gawang dalam jumlah sebanyak itu.
"Saya menganggap ia sebagai rezeki untuk saya dan keluarga," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Mohd Nor Ahmad, Gelugor itu yang tersenyum girang.
Berkongsi kegembiraan, anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu, dia akan memulakan persiapan latihan sebelum beraksi di peringkat akhir kebangsaan pada 10 Julai ini di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
"Pada peringkat awal ini, saya perlu tingkatkan stamina sebelum berdepan dengan para peserta itu nanti," jelasnya.
Dalam pada itu, Karnival World Football Heroes TM diadakan bersempena perlawanan bola sepak Piala Dunia pada bulan Jun ini.
Atas semangat kesukanan, Telekom Malaysia meneruskan siri penjelajahan karnival tersebut di sembilan lokasi seluruh negara seperti Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur.
Karnival tersebut merupakan susulan daripada termeterainya perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak England (FA) yang menjadikan TM sebagai Pemegang Lesen Telekomunikasi Rasmi England di Malaysia.
Menurut Pengurus Pegawai Perhubungan Awam dan Promosi TM Pulau Pinang, Zuraini Mohammad, Pulau Mutiara adalah lokasi kedua karnival itu selepas Ipoh, Perak sebelum menjelajah ke sembilan negeri lain.
Antaranya ialah di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pada 20 hingga 22 Mei, AEON Jusco Seremban 2, Negeri Sembilan (28-30 Mei) dan AEON Jusco Bukit Tinggi, Klang, Selangor (4-6 Jun).
"Tarikan utama karnival TM Million Kick Challenge ialah para pengunjung boleh menguji kemahiran menendang bola sepak dan berpeluang menjuarai hadiah bernilai RM10,000 di setiap lokasi.
"Juara peringkat negeri pula akan berentap pada peringkat akhir di di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 10 Julai nanti bagi mencari jaguh untuk merebut wang tunai bernilai RM1 juta.
"Mereka yang berminat hanya perlu membeli kad panggilan prabayar iTalk edisi terhad bernilai RM10 atau melanggan pakej TM Streamyx Combo 1Mbps atau lebih tinggi," ujarnya.
Selain itu pelbagai acara menarik turut diketengahkan di tapak karnival seperti permainan interaktif, bermain foosball dan playstation 3.
- KOSMO!