Top Ad 728x90

MAS pertimbang perluas khidmat mesin kios


Malaysian Airline System Bhd. (MAS) akan mempertimbangkan untuk memperluaskan perkhidmatan mesin kios di lapangan terbang-lapangan terbang di negara ini dengan lebih meluas, bergantung kepada keperluan.

Setakat ini mesin itu hanya terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, penggunaan mesin berkenaan akan memudahkan para penumpang mendaftar masuk atau memeriksa tiket mereka dengan cepat dan tepat.

"Mesin ini mula digunakan pada Disember 2007 secara domestik, kemudian di peringkat wilayah pada Septermber 2008 dan peringkat antarabangsa pada April 2009," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran mesin kiosk MAS di Terminal 1, KKIA, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MASWings Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Salleh Ahmad Tabrani.

Tengku Azmil berkata, penyediaan sistem tersebut termasuk dalam Sistem Perkhidmatan Pelanggan (PSS) MAS dengan peruntukan sebanyak RM480 juta dalam usaha memberi perkhidmatan yang terbaik.

Sementara itu, Mohd. Salleh berkata, MASWings akan melancarkan penerbangan antarabangsanya yang pertama iaitu ke Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Malaysia-Indonesia-Filipina (BMIP-EAGA) pada Oktober atau November ini.

"Destinasi-destinasi yang akan kita tawarkan ialah Brunei, Pontianak, Tarakan, Balik Papan di Indonesia dan di Cebu serta Davao di selatan Filipina.

"Sekarang ini kita sedang dalam penilaian dan perbincangan akhir sebelum diberi kebenaran itu. Ini adalah penerbangan antarabangsa pertama MASWings Sdn. Bhd.," katanya.

Salleh berkata, selain negara itu, MASWings juga berminat ke BMIP-EAGA lain tetapi mahu menumpu perhatian terhadap enam destinasi tersebut terlebih dahulu.

Katanya, perbincangan MASWings yang merupakan anak syarikat MAS, dengan pihak di negara terbabit sudah lama dilakukan tetapi baru kini mendapat kelulusan.

Sementara itu, melalui satu kenyataan yang dikeluarkan MASWings berkata, jumlah penumpang syarikat penerbangan itu ketika ini ialah kira-kira 88,000 sebulan.

Menurutnya kenyataan itu, MASWings yang beroperasi sejak 1 Oktober 2007, kini menyediakan perkhidmatan di 16 destinasi ke kawasan luar bandar di Sarawak, lima (Sabah) dan satu (Labuan).

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90