Top Ad 728x90

KDN buka Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membuka sebuah Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia bagi membolehkan penagih dadah tampil secara sukarela mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, konsep terbuka Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) itu mendorong orang ramai membawa ahli keluarga atau rakan mereka yang terlibat mendapatkan khidmat nasihat tanpa perlu melalui proses undang-undang.

Katanya, penubuhan klinik pertama seumpamanya sejajar dengan gagasan 1Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan kepada warganegara yang berdepan dengan masalah dadah.

"Pelanggan boleh datang ke pusat ini tanpa perlu melalui prosedur perundangan sebaliknya hanya perlu mendaftarkan diri untuk dinilai sebelum mendapatkan rawatan berdasarkan keperluan mereka.

"Ia turut memberi peluang kepada kakitangan awam dan swasta mendapatkan rawatan dan pemulihan tanpa berdepan sebarang implikasi dilucutkan jawatan atau dibuang kerja,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, empat jenis rawatan ditawarkan di klinik tersebut iaitu secara residensi, pesakit luar, singgah dan masuk serta rujukan dan advokasi.

"Ia akan bertindak sebagai penyelia, pelaksana, perunding, penyelaras dan perujuk program rawatan dan pemulihan kepada pelanggan.

"Ruang kerjasama yang lebih tersusun juga diperluaskan dengan penyedia perkhidmatan lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta bekas penagih yang telah pulih," katanya.

Jelas Hishammuddin, klinik itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelanggan khidmat singkat.

Klinik pertama akan dibuka di bangunan Puspen di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang diubah suai untuk kemudahan Pejabat Pesakit Luar, temu duga dan penilaian serta bilik pakar perubatan dan Wad Detoksifikasi dengan keupayaan 104 pegawai.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90