Siling Kompleks Mahkamah Runtuh
Siling kompleks Mahkamah Kuala Lumpur roboh hari ini menyebabkan kafeteria bangunan itu dibanjiri air kerana saluran paip yang pecah.
Selain itu, kebocoran buat kali kedua itu juga memusnahkan sebuah pejabat pos mini di kompleks berkenaan.
Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur Azizah Mahamud berkata runtuhan itu berlaku berikutan tekanan air terlalu tinggi dan kerosakan itu telah diperbaiki kontraktor yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.
Wakil Jabatan Kerja Raya pula dijangka hadir di kompleks itu esok bagi memantau keadaan.
Ditanya sama ada terdapat kemungkinan kejadian sama berulang, Azizah berkata "kami sentiasa bersiap sedia 24 jam.”
Sementara itu, ketua pos, Rosnita Muda berkata kerugian pihaknya ditaksirkan di antara RM30,000 hingga RM50,000.
"Saya dikejutkan oleh pihak keselamatan berhubung kebocoran itu dan dengan segera cuba menyelamatkan beberapa surat, surat berdaftar, dokumen, bil yang semuanya sudah basah.
“Komputer di pejabat pos ini juga rosak,” katanya yang turut memberitahu bahawa berikutan kerosakan itu, pejabat pos akan ditutup sehingga esok.
Kebocoran yang dikatakan berlaku semalam, tetapi telah dibaiki dan siap kira-kira jam 5 pagi ini.
Namun ia bocor kembali dua setengah jam kemudian iaitu pada jam 7.30 pagi ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Judin Abdul Karim ketika mengulas kejadian itu berkata, kebocoran tersebut disebabkan penutup paip yang pecah dan bahan yang digunakan tidak mengikut spesifikasi.
Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan Hakim Besar Malaya
Tan Sri Ariffin Zakaria yang kebetulan melawat kompleks berkenaan, turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Kompleks mahkamah bernilai RM500 juta ini yang kedua terbesar di dunia dan dilengkapi peralatan canggih, sebelum ini pernah dilanda beberapa kerosakan dan masalah.
Pada 30 April, 2007 - tiga hari sebelum pembukaan rasminya, siling panel termasuk lampu-lampunya runtuh.
Seminggu kemudian, rekahan sepanjang tiga meter kelihatan di luar Mahkamah Majistret Empat.
Selain itu, sepanjang Mei 2007 pula, sistem penghawa dinginnya mengalami masalah, berlaku kegagalan bekalan elektrik dan juga sistem pembetungannya melimpah.
- MALAYSIAKINI