Keraguan dalam ESQ boleh diperbetul, diperjelas - Majlis Fatwa

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan kursus program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya panel syariah dilantik ESQ.

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang pada 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan kebanyakan unsur keraguan yang terkandung dalam program itu boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Katanya, muzakarah turut memutuskan pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta, kenyataan atau apa juga aktiviti dan perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau boleh ditafsirkan sebagai bertentangan syariat Islam.

“Seperti termaktub dalam undang-undang, kuasa mengeluarkan fatwa terletak di bawah bidang kuasa negeri. Muzakarah menghormati fatwa dikeluarkan negeri termasuklah fatwa mengenai ESQ yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Selepas pengumuman keputusan mengenai status ESQ oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kelmarin, alumni yang pernah mengikuti program selama tiga hari sepatutnya sudah boleh bertenang.

Nampaknya, tidak perlu nak kalut atau panik kerana mereka masih boleh mengikuti program dianjurkan bagi sesi ‘mengecas’ semula disediakan penganjur sebagai menggalakkan alumni terus mendapat manfaat daripada program itu.
Sebenarnya, ura-ura mengharamkan ESQ pernah ditimbulkan sebelum ini, tetapi cakap-cakap mengenainya senyap begitu saja sehinggalah Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Wan Zahidi Wan Teh, mengeluarkan fatwa mengharamkan modul motivasi itu pada 10 Jun, yang disiarkan Berita Harian, 9 Julai lalu.

Keputusan fatwa diwartakan mengikut subseksyen 34 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1953) itu, selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Perlu difahami, keputusan itu pastinya bukan dibuat sewenang-wenang sebaliknya selepas kajian serta perbincangan mendalam. Hujah pengharaman juga disertakan dalam warta yang boleh diakses melalui laman web Pejabat Mufti WP.

Inilah yang dikatakan khilaf (perbezaan pandangan) kerana walaupun Mufti WP sudah mewartakan pengharaman modul motivasi itu, ada pihak berpandangan ia tidak menyeleweng atau menyesatkan.

Adab berbeza pandangan antaranya menghendaki semua pihak menghormati perbezaan pandangan kerana kita tidak boleh memaksa orang menerima pandangan kita dan pada masa sama menentang amalan dirasakan tidak sesuai.

Pejabat Mufti WP sudah mewartakan fatwa kerana itu pandangan dan hak mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1953), tetapi tiada sebarang kenyataan penentangan dibuat.

Jadi, bagi yang menghormati pandangan itu, keputusan Pejabat Mufti WP diterima seadanya dan pihak yang rasa tidak bersetuju, boleh melihat kepada maklum balas diberikan pihak lain mengenai program anjuran ESQ.

Tidak dinafikan, daripada 65,000 peserta program itu, ada testimoni mengakui keberkesanannya sehingga berjaya mengubah kehidupan mereka menjadi insan lebih baik berbanding sebelumnya.

Tidak kurang merasakan pendekatannya tidak sesuai dengan jiwa dan keperibadian mereka. Hingga ada sesi seperti menangisi dosa dilakukan menjadi bahan ‘ketawa’ ketika bercerita dengan rakan kerana dirasakan ia tidak memberi kesan.

Pengalaman pada penulis yang mengikuti program ESQ pada Ogos 2008, program itu memberi kesedaran mengenai matlamat hidup serta tanggungjawab sebagai hamba Allah. Namun, tidak dinafikan ada yang terlalu taksub dengan program motivasi ESQ hingga menyandarkan 100 peratus perubahan diri kepada kejayaan program itu. Malah, ada memperkecilkan kesungguhan pihak lain yang dianggap sebagai tidak berjaya.

Bagi yang sedang mencari sesuatu dalam hidup yang difikirkan masih belum ditemui atau baru berjinak-jinak mempelajari ajaran agama, modul program ESQ menggunakan teknologi moden dan pendekatan berbeza memberi ‘kelainan’ untuk berdakwah itu dilihat banyak membantu.

Tetapi, bagaimana dengan peserta program tanpa membawa pulang ‘kesan’ diharapkan. Apakah penjelasan yang sesuai, adakah hati mereka memang keras atau pendekatan program gagal menjolok keinginan supaya melakukan transformasi diri.

Bagi memahami isu penyelewengan atau percanggahan yang mungkin ada dalam modul program motivasi ESQ, boleh meneliti ulasan dan cadangan berkenaan kursus latihan ESQ 165, catatan hasil pengalaman Zaharuddin Abd Rahman di laman web www.zaharuddin.net.

Catatan siaran 8 Mei 2009 itu membincangkan beberapa perkara yang memerlukan pemerhatian dan pengubahsuaian berdasarkan penelitian serta pemerhatian Zaharuddin yang dijemput menyertai program itu.

Antara isu dihujahkan ‘God Spot’ yang merujuk kepada saraf otak manusia dikatakan berfungsi serta bertindak balas terhadap aspek agama dan ketuhanan. ‘God Spot’ istilah digunakan ESQ dalam modelnya bagi melambangkan elemen kecerdasan spiritual.

Berdasarkan penekanan mengenai ‘God Spot’, manusia sudah Allah sediakan saraf atau apa yang diterjemahkan ‘Titik Tuhan’ itu untuk menghampiri agama. Persoalannya, katakanlah jika saraf ini tercedera, adakah manusia akan hilang kepada kehendak agama?

Banyak lagi isu lain dijelaskan alumni ESQ yang menerima jemputan khas penganjur dan setiap perkara dibangkitkan diberi hujahan hasil penjelasan diterima, pengalaman mengikuti program serta penilaian merujuk kepada sumber al-Quran dan sunnah.

Berdasarkan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu, mungkin ESQ boleh melihat keperluan menilai semula modul program mereka serta mengambil kira pandangan pihak berkaitan demi kebaikan semua.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url