Kadar Kelahiran Merosot, Malaysia dihuni warga tua?
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seia Kie berkata, situasi itu membimbangkan kerana ia akan menyebabkan struktur kependudukan negara menuju kepada peningkatan golongan warga tua.
"Ketika ini peratusan kadar kelahiran bayi adalah 2.2 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2000. Angka itu akan terus menurun di bawah dua peratus pada 2030.
"Peningkatan warga tua berbanding golongan muda bukan sahaja akan memberi kesan kepada pertumbuhan penduduk tetapi juga daya maju negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penduduk, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.
Seai Kie berkata, bagi menangani isu berkenaan, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta harus bekerjasama dalam menyediakan sistem sokongan kepada pekerja agar mereka dapat menyeimbangkan antara kerjaya dan keperluan berkeluarga.
"Bagaimanapun, keputusan untuk berkahwin atau tidak, melambatkan perkahwinan dan sekiranya sudah berkahwin, berapa anak yang diinginkan adalah bergantung kepada individu," katanya.
Mengenai seminar yang dianjurkan bagi meraikan Hari Penduduk Dunia pada 11 Julai setiap tahun, Seai Kie berkata, LPPKN dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan meneruskan usaha menjadikan isu melindungi alam sekitar sebagai amalan di kalangan penduduk khususnya institusi keluarga.
Sebagai model terbaik kepada anak-anak, jelasnya, ibu bapa perlu mengajar dan menggalakkan mereka menjaga alam sekitar dan menangani perubahan iklim dengan menekankan unsur 3R iaitu mengurang (reduce) mengguna semula (reuse) kitar semula (recyle).
Beliau turut mengingatkan semua pihak terutama golongan wanita supaya membeli barang yang mereka perlukan sahaja selain mengamalkan konsep guna dan kitar semula.
Dalam pada itu, Seai Kie memberitahu, kajian oleh Earth System Science Centre di Brazil mendapati 10,000 manusia dilahirkan setiap jam di seluruh dunia mengakibatkan empat juta tan karbon dioksida dihasilkan.
Pada setiap jam juga, katanya, 1,500 hektar hutan dimusnahkan di seluruh dunia dan tiga spesies haiwan dilaporkan pupus.
"Statistik ini menakutkan kita. Jika kita tidak ambil langkah untuk mengatasi dan mencegahnya, suatu hari nanti kita akan menghadapi pelbagai masalah dalam melindungi bumi daripada kemusnahan," katanya.
- UTUSAN