Pendakwah perlu elak perdagangkan ilmu wahyu

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

ISLAM adalah agama yang mudah dan mampu diamalkan oleh manusia. Umat Islam sepatutnya memahami ajaran Islam secara mendalam sebelum menyibarkan ajaran tersebut kepada masyarakat.

Setiap umat Islam digalakkan untuk berdakwah kerana dakwah merupakan fardu kifayah kepada masyarakat Islam dan fardu ain kepada individu yang memiliki ilmu pengetahuan Islam secara mendalam.

Sebelum menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat, setiap individu perlu bermuhasabah diri dan mempersoalkan apakah tujuan dan matlamat mereka melibatkan diri dalam kegiatan dakwah.

Adakah pendakwahan itu bercirikan perniagaan atau perdagangan? Atau pendakwahan bertujuan untuk mendapat keredaan daripada Allah?

Jika pendakwahan lebih mirip kepada perniagaan maka ayat-ayat al-Quran dan hadis akan menjadi bahan jualan yang paling murah yang mana nilainya diukur dengan wang ringgit. Sedangkan Allah menyeru umat Islam supaya menyibarkan kalimah-Nya secara ikhlas dan meletakkannya di peringkat yang paling tertinggi dan tidak boleh dibandingkan dengan wang ringgit dan harta benda keduniaan.

Wang ringgit dan kemewahan dunia adalah nilai yang paling rendah dan ia bersifat sementara dan melalaikan.

Umat Islam yang memahami konsep pendakwahan Islam tidak akan menjadikan ayat-ayat al-Quran dan hadis sebagai bahan untuk perniagaan dan perdagangan kerana Wahyu Ilahi dan panduan hidup yang dipimpin oleh Rasulullah SAW perlu disebarkan kepada keseluruhan manusia tanpa mengira miskin atau kaya.

Kehebatan berbicara dan penonjolan ilmu pengetahuan secara membangkitkan emosi manusia jika tidak didasarkan kepada disiplin ilmu pengetahuan terutamanya ilmu wahyu dan hadis maka ia boleh menjurus kepada keraguan, kekeliruan dan kemusnahan ajaran Islam.

Dalam pendakwahan, setiap pendakwah perlu mengukur kecapaian akal fikiran masyarakat. Penggunaan istilah-istilah yang amat digemari oleh ahli-ahli psikologi Barat kadang kala tidak bertepatan dengan pemahaman Islam berkaitan dengan latihan kerohanian.

Pemikiran dan hati nurani para pendakwah Islam tidak boleh disamakan dengan ahli-ahli perniagaan yang sentiasa menghitung jumlah para pelanggan dan hasil keuntungan berbentuk material. Jika para pendakwah meletakkan dirinya dalam kategori begini maka perjuangan Islam menjadi lemah dan struktur masyarakat Islam menjadi kucar-kacir kerana golongan miskin tidak mampu untuk memiliki ilmu agama kerana kalimah Allah diperdagangkan seperti barang jualan.

Permasalahan sosial dan gejala maksiat yang semakin menular dalam negara ini masa kini sepatutnya dapat membuka minda para pendakwah tentang hakikat perjuangan Islam yang sebenarnya. Mereka tidak sepatutnya membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh unsur-unsur yang berbentuk memperdagangkan ilmu wahyu. Sikap begini bukan sahaja boleh membantut penyibaran ilmu wahyu kepada masyarakat keseluruhannya malah ia juga boleh mencemar maruah dan kewibawaan para pendakwah di kalangan masyarakat.

Apabila masyarakat menghadapi dilema ketandusan spiritual/rohani maka para pendakwah Islam sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pengisian ilmu-ilmu berbentuk tazkiyyah al-nafs (pembersihan jiwa) berdasarkan kepada metod yang diajar oleh al-Quran dan hadis).

Agama Islam amat perihatin terhadap pembentukan kerohanian dan pelbagai metod diperkenalkan oleh Islam bagi mengendalikan permasalahan spiritual. Ilmu kerohanian atau spiritual yang terdapat dalam agama Islam diperakui oleh agama lain. University Vatican di Rome menjemput sarjana Islam mengajar ilmu sufi kepada para pelajarnya yang terdiri daripada paderi.

Jika umat Islam gagal mengendali urusan kerohanian maka para pendakwah dan sarjana Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada ilmu-ilmu kerohanian yang terdapat di dalam al-Quran dan Hadis bagi memulihkan kemelut yang dihadapi oleh masyarakat.

Pendakwah Islam mampu mengendalikan permasalahan ketandusan spiritual masyarakat jika mereka meletakkan tugas dakwah sebagai agenda utama dalam kehidupan secara ikhlas dan mengharapkan ganjaran daripada Allah.

Ulama dan pendakwah Islam masa kini sepatutnya merenung dan memahami konteks ajaran Islam secara telus dan menumpukan perhatian kepada kaedah yang diajar oleh sarjana Islam masa silam mengenai permasalahan kerohanian kerana sejarah membuktikan bahawa mereka berjaya membentuk umat Islam yang berwibawa dan bertamadun. Islam tidak tandus dengan ilmu kerohanian. Oleh itu tumpukan perhatian kepada cara didikan Allah dan Rasul-Nya dalam mengendalikan urusan kerohanian manusia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url