Umat Islam perlu saring kebenaran maklumat, berita
Perkembangan teknologi membawa kepada percambahan maklumat. Jika dulu, ia mungkin terhad, kini di hujung jari.
Pada satu ceramah di masjid, seorang penceramah agama membawa pelbagai hadis dan kisah silam. Namun apakah semua hadis yang disampaikan benar-benar sahih sebagai hadis mengikut ijtihad ulama? Begitu juga berita dilaporkan media saban hari.
Islam tidak menetapkan kaedah dan cara tertentu dalam penyebaran maklumat. Apa yang penting maklumat disebarkan adalah maklumat benar. Bagi golongan penerima maklumat, mereka mempunyai satu tanggungjawab iaitu menyaring setiap maklumat diterima.
Tanggungjawab menyaring maklumat adalah penting. Tanpa saringan, dikhuatiri maklumat disampaikan adalah maklumat yang salah dan silap. Kesalahan dan kesilapan ini akan membawa kepada implikasi negatif yang lain.
Dalam isu saringan maklumat ini, al-Quran memberikan pedoman amat penting. Al-Quran menyatakan mafhumnya: “Wahai golongan beriman! Apabila seorang fasik datang kepada kamu dengan membawa satu berita, maka carilah bukti keterangan”. (Surah al-Hujurat : 6).
Bagi memahami isu ini, ada dua perkara yang wajar diberi perhatian: Siapakah yang membawa maklumat? Apakah maklumat dibawa?
Pertama sekali, persoalannya berkisar watak peribadi insan yang membawa berita. Perlu dibezakan antara peribadi baik dan peribadi buruk. Jika insan itu seorang fasik atau dalam erti banyak melakukan maksiat, maka amat wajar maklumat disampaikan disaring dengan ketat. Peribadinya banyak melakukan maksiat adalah peribadi tidak takut kepada Allah. Mereka sanggup menipu, khianat dan pelbagai tegahan Allah SWT akan dilanggar.
Perkara kedua berkaitan dengan maklumat disampaikan. Perkara ini perlu disaring dengan lebih ketat. Hari ini, maklumat tersebar dengan mudah. Kalau dulu, berita boleh didapati dengan cerita disebarkan menerusi kata-kata dan nukilan dalam akhbar atau media cetak, kini media terus berkembang. Berita dalam internet amat banyak. Namun adakah semua berita itu benar?
Inilah antara musibah yang melanda apabila maklumat atau berita disampaikan sebegitu cepat dan pantas. Ada kebaikannya, namun wujud juga unsur negatifnya. Berita fitnah dan berbaur fitnah melanda masyarakat. Majoriti masyarakat nampaknya menerima berita disampaikan dengan begitu mudah. Lebih-lebih lagi dalam isu permusuhan, parti berbeza dan seumpamanya.
Oleh itu, berbalik semula kepada saranan dan pedoman al-Quran, apakah kisah di sebalik ayat ini? Menurut tafsir Ibn Kathir, Nabi SAW sudah berjanji menghantar wakil bagi tujuan mengutip harta zakat yang dikumpulkan satu puak Arab. Kelompok ini diketuai lelaki bernama Harith.
Wakil yang dihantar bernama Walid ibn U’qbah. Maka beliau bertolak ke tempat Harith. Namun oleh kerana takut, Walid sudah pulang tanpa berjumpa Harith. Apabila Walid bertemu dengan Nabi SAW, Walid menjelaskan bahawa Harith sudah menghalang harta zakat dan cuba membunuhnya. Ini menyebabkan kemarahan Nabi SAW hingga Nabi mengutuskan wakil yang lain. Namun akhirnya tersingkap cerita sebenar. Nampaknya Walid tidak bercakap benar. Maka wahyu ayat ini diturunkan.
Tidaklah menjadi keperluan mendesak untuk mengkaji status sahabat Nabi yang disebut dalam ayat ini. Al-Quran adalah untuk pedoman, bukan mencari salah siapa.
Bayangkan jika cerita sebenar tidak tersingkap. Sudah tentu berlaku peperangan dan membawa kepada jiwa yang terkorban. Semuanya berpunca daripada sikap tidak mencari kepastian dalam berita yang diterima.
Oleh itu, nilai penting ditekan dalam al-Quran ialah nilai menyaring maklumat. Insya-Allah fitnah tidak akan mudah tersebar. Masyarakat akan membaca setiap berita, namun tidak akan mempercayainya dengan segera. Masyarakat akan menyiasat, mengkaji, berbincang dan menapis setiap maklumat. Dengan sikap sebegini, tamadun yang baik akan subur.
- BERITA MINGGU