MOSTI anjur Karnival Malaysia Inovatif 2010
Sebagai prapelancaran karnival, sebanyak 20 beca roda tiga, skuter dan kereta sewa dipilih menjadi ‘duta’ bagi mempromosi karnival itu yang akan membawa bendera kecil ‘Karnival Inovatif Malaysia 2010 Zon Timur’ sehingga hari pelancarannya oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, pada Jumaat ini.
Pelepasan kenderaan duta karnival itu disempurnakan Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof, di Dataran Shahbandar di sini, semalam.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Fadillah berkata, karnival itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemikiran kreatif dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat.
Katanya, kumpulan sasar meliputi semua lapisan masyarakat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), wanita belia, pelajar, penyelidik, badan bukan kerajaan, swasta, penduduk luar bandar dan bandar.
“Selaras dengan tema karnival ini iaitu ‘Meraikan Kreativiti’ pelbagai program sudah diatur bagi pertandingan inovasi peringkat Zon Timur, termasuk pameran produk inovasi, ceramah interaktif, bengkel inovatif dan Malam Kreativiti Muzikal,” katanya.
- BERITA MINGGU