Top Ad 728x90

, ,

Cabaran 53 tahun merdeka

Oleh NORAINI ABD.RAZAK

Tiga tahun lalu, sewaktu rakyat Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-50, ramai yang menarik nafas lega betapa akhirnya kita berjaya sampai ke tahap itu. Betapa segala liku, onak dan duri dapat ditempuh terutama dalam hal-hal berkaitan perpaduan kaum yang sentiasa menjadi umpama duri dalam daging. Perasaan bangga juga terserlah lantaran di sebalik pelbagai isu, fasa pertama kemerdekaan tanah air dapat dilalui dengan hanya satu insiden pada 13 Mei 1969 yang disifatkan sebagai mencabar perpaduan antara kaum di negara ini.

Namun selepas tiga tahun melepasi tahap itu, kelihatannya masih ada yang tidak selesai. Malah, adakalanya ada isu yang semakin mengusut seolah-olah tidak ada penghujungnya. Membimbangkan isu tersebut bersangkutan dengan perkauman. Pasti apabila bercakap mengenai perkauman tragedi 13 Mei bermain di benak fikiran setiap rakyat Malaysia yang tidak mahu mengizinkannya daripada berlaku sekali lagi.

Sebagai negara yang masyarakatnya berbilang kaum, apa saja berkaitan dengan perkauman tentunya tidak boleh dipandang ringan. Lantaran sedikit percikan api perkauman mampu membakar tali yang mengikat perpaduan antara kaum-kaum di negara ini. Persoalannya kebimbangan timbulnya isu perkauman tidak pernah menghalang pihak tertentu untuk membangkitkan perihal hak keistimewaan Melayu yang sememangnya boleh mencetuskan bara kemarahan dan seterusnya menyalakan api permusuhan di antara kaum-kaum di negara ini. Dalam kesungguhan kerajaan untuk memelihara hubungan antara kaum, ada saja suara mencuri perhatian rakyat tentang isu yang telah disepakati sejak negara mencapai kemerdekaan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan. Sampai bila perkara itu mahu dijadikan isu? Matangkah rakyat Malaysia untuk terus membangkitkan perkara tersebut selepas usia kemerdekaan mencapai 53 tahun. Lebih penting lagi segala keistimewaan yang tertera belum melayakkan bangsa yang dicemburui untuk mendapat apa yang dikuasai oleh kaum lain.

Keadaan itu terbukti. Tidak perlu berulangkali bangkitkan contoh-contoh yang terbentang di hadapan mata. Sesiapa saja boleh melihat lantaran fakta bahawa pencapaian bangsa Melayu yang dilaungkan memiliki segala keistimewaan masih tertinggal jauh tidak pernah disorok jauh sekali mahu ditutup.

Susah benarkan mahu berpadu, atau isu perkauman hanya melingkari barisan pemimpin atasan manakala rakyat bawahan menjalani kehidupan seharian tanpa ada syak wasangka malah dalam banyak hal saling bergantungan. Lihatlah bagaimana eratnya masyarakat di bandar atau luar bandar berurus-niaga. Biar pun berlainan bangsa namun satu kaum memakmurkan kaum yang satu lagi.

Kaum Cina yang terkenal dengan kepintaran bisnesnya melata di sana-sini mengembangkan perniagaan. Di kampung-kampung ada saja kedai runcit yang menyediakan keperluan untuk orang kampung. Tidak timbul isu perkauman lantaran orang kampung membeli tanpa ada rasa syak wasangka. Ada peniaga berbangsa Tionghua membawa van masuk ke pelosok kampung yang rata-rata penduduknya Melayu setiap hari menjual ikan dan sayur-sayuran. Kepada peniaga itu juga orang Melayu sering memesan daging dan ayam. Tidak ada prasangka dan syak-wasangka. Peniaga itu jujur membekalkan sumber halal mengekalkan kepercayaan penduduk kampung sejak dia memulakan perniagaan hampir 30 tahun lalu. Dalam masyarakat Melayu yang terselit beberapa keluarga berketurunan Tionghua tidak pernah merungut terganggu dek laungan azan. Jiran-jiran Melayu tidak pernah mengeluh bau asap colok dan upacara membakar kertas untuk memperingati si mati. Masing-masing memakmurkan jiran lantaran tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Di bandar-bandar besar juga begitu.

Perniagaan

''Kita tengok pada musim perayaan ini, orang Melayu membeli-belah tanpa mengira perniagaan itu milik siapa. Jika ada tawaran diskaun, mereka akan berpusu-pusu, langsung tidak timbul siapa tauke bisnes tersebut,'' kata Dr. Zulkanain Abdul Rahman, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) Fakulti Sastera, Universiti Malaya.

Kesemuanya itu, menurut beliau, hasil kemakmuran dan toleransi kaum yang dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan. Ia juga melambangkan perpaduan rakyat negara ini telah berjaya dipupuk walaupun belum seratus peratus jitu. Peratusan kecil yang belum dicapai itu hakikatnya menjadi cabaran besar, lantaran ia boleh saja menggugat kesungguhan kerajaan memupuk perpaduan antara kaum sejak Malaysia merdeka. Beliau menarik perhatian tentang tuntutan berbaur perkauman yang biarpun dilihat kecil namun boleh saja mencetuskan suasana tidak harmoni sekali gus menghakis sedikit demi sedikit perpaduan yang telah dibentuk.

Katanya, jika ditanya apa pencapaian paling besar sepanjang 53 tahun negara mencapai kemerdekaan beliau akan menjawab: ''Perpaduan antara kaum.''

''Bukan Menara Berkembar Petronas atau Putrajaya atau bangunan pencakar langit menjadi ukuran kegemilangan 53 tahun merdeka.''

Katanya, kemerdekaan hanya sekali justeru semangat perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air yang merdeka mesti ditunjukkan dalam bentuk apa sekali pun termasuk mengibarkan Jalur Gemilang. ''Jika ada yang mempersoalkan gesaan supaya dikibarkan Jalur Gemilang di rumah dan bangunan, serta mengaitkannya sebagai hanya cebisan kain, maka ini petanda bahawa ada yang tidak menghargai konsep bernegara dan kemerdekaan yang kita kecapi.

''Lucutkan saja kerakyatan orang yang tergamak melontarkan pandangan sedemikian,'' katanya.

Menurut Zulkanain, tanggal 31 Ogos amat istimewa, justeru tidak sepatutnya timbul sebarang tanda soal jika ada permintaan supaya ia diraikan. Malah menunggu arahan, gesaan atau permintaan supaya ulang tahun kemerdekaan tanah air diraikan pun sudah menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah ada rasa terpaksa untuk mengibarkan bendera (satu-satunya lambang) yang kekal selagi negara ini berjaya mengekalkan kemerdekaannya.

Beliau menekankan tentang pentingnya rakyat terutama generasi muda faham tentang nikmat sebuah negara merdeka. Katanya, golongan yang lahir selepas merdeka selalu lupa hakikat itu lantas mereka sering bertindak melangkaui batas. Apabila ada suara membuat tuntutan berbaur perkauman, maka golongan muda tanpa usul periksa meminggirkan fakta sejarah menyokong bulat-bulat. Sedangkan, menurut beliau, apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan (tuntutan paling kerap) semuanya diputuskan atas dasar permuafakatan dan toleransi kaum.

Bumiputera

''Malangnya kerana tidak faham sejarah atau sengaja tidak mahu faham, tuntutan berkaitan hak bumiputera terus berkumandang dan semakin kerap dilontarkan kebelakangan ini, seolah-olah apa yang telah termaktub itu rasis sifatnya'' katanya.

Sedangkan, menurut beliau, Perlembagaan itu adalah bukti paling jelas toleransi dan permuafakatan antara kaum yang telah berjaya membawa Malaysia sampai ke tahap sekarang ini. Beliau hairan mengapa tuntutan-tuntutan supaya keistimewaan di sisi Perlembagaan dihapuskan tidak pernah reda sedangkan perkara tersebut dicapai atas semangat toleransi dan perpaduan sejak sebelum merdeka lagi.

Kepada pihak yang tidak berhenti membuat tuntutan seumpama itu Zulkanain bertanya: ''Mengapa tidak dibangkitkan soal kewarganegaraan yang diputuskan juga atas toleransi kaum.''

Katanya, status warganegara melayakkan seseorang bertanding dalam pilihan raya, mendapat pendidikan dan pelbagai keistimewaan lagi. Perkara itu tidak pernah dibangkitkan oleh kaum bumiputera yang telah menunjukkan sikap tolak-ansur amat besar ketika rundingan mengenainya dijalankan.

Apabila negara melangkah ke usia 53 tahun merdeka, sepatutnya isu-isu yang sememangnya telah termaktub dalam Perlembagaan tidak lagi dipersoalkan. Cabaran untuk memastikan usia kemerdekaan itu sentiasa malar mesti digerakkan tanpa mengira kaum. Dalam usaha kaum bukan bumiputera untuk melangkah mengukuhkan kedudukan mereka di tanah air tercinta ini, tidak perlu digugat hak-hak bumiputera yang telah disepakati dan dipersetujui.

Kaum bukan bumiputera tidak dihalang untuk terus menguasai apa juga bidang terutamanya ekonomi. Biar pun diketahui jurang ekonomi antara faktor yang boleh menggugat perpaduan antara kaum. Mereka juga bebas mencipta nama dan kekayaan atas tiket warganegara yang dikecapi juga atas nama permuafakatan. Setiap usaha kerajaan untuk merapatkan perpaduan sepatutnya dialu-alukan dan diberi sokongan. Contoh paling mudah adalah peranan pendidikan sebagai alat untuk menyatukan kaum-kaum di negara ini. Usaha tersebut tidak pernah mendapat sambutan, malah perjuangan menuntut pendidikan aliran sendiri sentiasa menjadi keutamaan. Jadi di mana rasionalnya tuntutan menyisihkan hak bumiputera dilaungkan sedemikian rupa tetap pada masa yang sama kaum bukan bumiputera tidak pernah mahu bertolak-ansur dalam soal pendidikan yang sehingga kini menjadi punca jurang antara kaum dalam soal perpaduan semakin melebar.

Mungkin ramai yang tidak percaya jika didedahkan bahawa kalangan pelajar universiti kini tidak betah duduk sebilik dengan kaum yang berlainan. Kegiatan kokurikulum juga menyaksikan pelajar bumiputera berada dalam kelompok masing-masing. Ada kajian menunjukkan dapatan itu. Betapa dalam kita meniti usia kemerdekaan 53 tahun, perkara yang tidak sepatutnya berlaku semakin berleluasa menunjukkan ada yang tidak kena dan mesti segera diperbetulkan. .

Justeru, jadilah warganegara yang mempunyai jati diri, kenali siapa diri kita, bumi yang kita pijak serta langit yang kita junjung. Bukan menjadi warganegara hanya untuk kepentingan diri - kekayaan ditarah, tetapi kesetiaan berbelah-bahagi.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90