Ketagih Berbelanja

Tiba sahaja Ramadan, ramai yang memperkatakan soalan kesihatan fizikal. Kemampuan berhadapan dengan diet dan penyakit sering menjadi ukuran puasa yang sempurna. Namun, bagaimana pula dengan anda yang diserang penyakit dalam diam. Lebih-lebih lagi ia memerlukan kekuatan mental untuk melawan penyakit ini. Hakikatnya, inilah yang dialami oleh umat Islam menjelang Aidilfitri. Semuanya gila berbelanja kerana ingin bergaya di hari raya dan mengejar jualan murah. Tidak cukup itu, orang ramai berpusu membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.

Menyentuh isu gila berbelanja atau istilah biasanya shopaholic, teringat sebuah filem mengenai seorang gadis yang berhadapan dengan penyakit mental ini.

Masakan tidak, watak sebagai seorang gila berbelanja bernama Rebecca ternyata dekat sekali di hati kebanyakan wanita di seluruh dunia yang menjadikan beli-belah sebagai terapi nafsu bergaya paling mujarab.

Menerusi Confessions of a Shopaholic, watak heroin, Rebecca dibelenggu hutang kerana tabiatnya yang gila berbelanja.

Wanita ini juga sanggup menipu demi memenuhi kehendaknya.

Dalam filem tersebut, Rebecca mendapatkan rawatan dengan menghadiri kaunseling kelompok.

Apa yang tersirat di sebalik filem itu, masyarakat tempatan kurang prihatin terhadap kesan penyakit mental tersebut.

Fenomena ini berlaku menjelang musim perayaan apabila semua ingin mempunyai pakaian, aksesori, perabot yang baru.

Selain dibelenggu hutang, shopaholic boleh menyebabkan kita menjadi stres, cemburu dan hubungan suami isteri renggang.

Menurut Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Madya, Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, dalam konteks ini, seseorang itu hilang kawalan dan ketagihan berbelanja.

Golongan ini sering berbelanja secara berlebihan dan berterusan sehingga memudaratkan diri mereka dan orang sekeliling. Tidak kira lelaki atau perempuan mereka boleh diserang penyakit mental itu.

Pelbagai alasan kenapa gejala ini berlaku. Pada awalnya, ramai yang menganggap ia satu keseronokan untuk menghilangkan kemurungan diri. Namun, mereka akan terus berbelanja dan berbelanja tanpa menghiraukan akibatnya.

Misalnya, kenapa orang membunuh diri? Mungkin kerana tekanan, kemurungan atau marah. Begitu juga dengan shopaholic yang dengan berpunca masalah dalam diri.

"Ketidakmatangan diri untuk mengawal nafsu dan kemahuan tanpa menyedari akibat daripada tindakan sedemikian mengikut lunas agama. Amat penting untuk membezakan keperluan dan kemahuan," jelas beliau.

Pada musim perayaan, ramai yang berbelanja kerana pengaruh rakan-rakan. Misalnya, membeli kerana didorong sikap tunjuk-menunjuk.

Ramai yang sanggup berbelanja lebih daripada kemampuan kerana tidak mahu kurang daripada orang lain.

Berhubung isu ini, faktor persekitaran turut menyumbangkan kepada gejala ini. Selain pesta membeli-belah dan karnival jualan murah, ramai yang mengambil kesempatan penggunaan kad kredit.

Sehubungan itu, masyarakat tidak menyedari kesan yang dihadapi akibat shopaholic.

Seperti yang berlaku dalam filem, Confessions of a Shopaholic, tabiat ini menyebabkan bebanan hutang yang melampau.

Apabila tekanan datang kemudian, ia secara tidak langsung menyebabkan penyakit mental yang lain seperti murung, menipu dan rasa tidak tenteram.

Masalah ini juga akan menyebabkan hubungan keluarga keruh. Kebiasaannya, masalah itu berpunca daripada kedudukan kewangan yang dihadapi khususnya mereka yang sudah berkahwin. Seperti kes Rebecca, dia akhirnya sanggup menipu orang lain dan mengetepikan kawan baik sendiri. Hubungannya dengan orang sekeliling akhirnya tidak baik.

"Lunas agama telah menyatakan dengan jelas tentang gila berbelanja hingga berlaku pembaziran. Apatah lagi, jika berbelanja tidak mengikut keutamaan sehingga tiada simpanan. Masalah kewangan akan dialami selepas musim raya. Ini akan mengakibatkan stres jika perbelanjaan pendidikan anak-anak pun tidak dapat disediakan," ujar beliau.

Bagi mengatasi masalah ini, Dr. Haslee menasihatkan orang ramai mengubah tingkah laku.

Kebanyakan pesakit mental tidak tahu bahawa penyelesaian bermula daripada diri sendiri.

"Isu ini ada kaitan dengan pengurusan kendiri, disiplin kendiri, kawalan kendiri dan kematangan psikologi. Individu terbabit perlu disedarkan bahawa mereka masih belum matang sebab hilang kawalan berbelanja mengikut hawa nafsu. Agama kita sangat indah dan mengajar kita membentuk jati diri yang matang, mengerjakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang menggunakan akal fikiran sendiri tanpa paksaan atau pemantauan mana-mana pihak," jelas beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url