Melaksanakan kontrak Ar-Rahnu
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
ISLAM adalah agama yang mementingkan keadilan dan kesejahteraan terhadap semua pihak. Semua gagasan yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah suci daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Meskipun terdapat golongan masyarakat majmuk berada di bawah pemerintahan baginda di Madinah, namun tidak pernah berlaku sebarang penganiayaan kepada mereka walaupun berlainan agama dan bangsa.
Demikian juga yang kita dapat garapkan daripada pelaksanaan kontrak-kontrak dalam sistem muamalat Islam. Kontrak Ar-Rahnu adalah antara kontrak-kontrak yang dilihat sangat membantu kehidupan masyarakat. Kontrak Ar-Rahnu sangat berguna ketika mana berada dalam keadaan kesulitan kerana tidak mempunyai wang atau dana yang cukup bagi sesuatu tujuan yang dihalalkan oleh syariat.
Apabila penghutang telah membayar semula hutangnya, maka wajib ke atas pihak yang menyimpan barang tersebut untuk memulangkannya. Sekiranya pihak penghutang gagal membayar hutangnya dalam masa yang telah ditetapkan, maka dibolehkan kepada pihak yang menyimpan untuk menjual barang dalam simpanannya. Sekiranya keuntungan yang diperoleh hasil daripada penjualan barang tersebut melebihi kadar hutang, maka ia perlu dikembalikan kepada pemiliknya, iaitu pihak penghutang.
Di Malaysia, skim Ar-Rahnu semakin berkembang dari semasa ke semasa. Seseorang yang ingin berhutang dibenarkan untuk memohon untuk berhutang dan membuat gadaian di pusat-pusat gadaian secara Islam. Biasanya, penghutang hanya dibenarkan untuk mendapatkan pinjaman tidak melebihi 50 hingga 60 peratus daripada harta gadaian terbabit. Pusat gadaian akan memberikan hutang tanpa mengambil sebarang keuntungan dari pihak penghutang. Justeru, bagaimana pusat gadaian Islam akan memperoleh keuntungan?
Keuntungan yang diperoleh datangnya daripada upah sewa yang diberikan oleh penghutang kerana menyimpan barang di bawah jagaan pusat berkenaan. Namun begitu, ulama berselisih pendapat dalam mengharuskan upah simpan atau sewa dalam kontrak Ar-Rahnu. Majoriti daripada mereka membenarkan mengambil upah dengan syarat ia adalah kadar upah sebenar sekadar yang munasabah.
- UTUSAN