Biarlah Derma Disalur Secara Adil - JAKIM
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian KESUMA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zawiyah Hassan berkata kebanyakan masyarakat hari ini bermurah hati menghulurkan derma untuk anak-anak yatim tetapi mereka memikirkan jalan mudah apabila memilih rumah anak-anak yatim berhampiran dengan tempat mereka sahaja untuk menderma.
“Tak salah kalau bagi sedekah untuk anak yatim, sebab Islam sendiri menggalakkan umatnya bersedekah dalam bulan Ramadan. Tapi kalau boleh biarlah derma itu disalurkan secara adil sebab hari ini kita tengok rumah anak-anak yatim tertentu sahaja yang dapat perhatian masyarakat.
“Sedangkan dalam masa yang sama, masih banyak rumah-rumah anak yatim yang penghuninya menjalani hidup seperti hari-hari biasa. Jemputan ke majlis berbuka pun kurang, begitu juga sumbangan berbentuk barangan dan duit raya,” katanya kepada Mingguan mStar.
Menolak dakwaan kesemua anak-anak yatim yang berlindung di pusat jagaan dan perlindungan mendapat habuan lumayan pada bulan Ramadan, beliau berkata anak-anak yatim di kawasan bandar dan berlindung di rumah perlindungan ‘popular’ sahaja biasanya mendapat habuan seperti itu.
Dalam hal ini beliau tidak menyalahkan masyarakat dan syarikat-syarikat penganjur majlis berbuka puasa kerana menyedari masing-masing mempunyai komitmen lain dan mahu mencari jalan mudah untuk bersedekah.
“Sebagai manusia kita biasanya akan ambil yang mudah saja. Yang mana dekat, yang itulah yang kita nampak untuk bagi duit dan baju raya. Tak kurang juga yang kesuntukan masa untuk menghulurkan derma ke rumah anak-anak yatim yang jauh dari tempat tinggal. Kos perjalanan juga perlu difikirkan. Akhirnya sumbangan disalurkan ke rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata adalah tidak wajar untuk masyarakat berfikir bahawa anak-anak yatim menjadi ‘kaya-raya’ setiap kali tibanya Ramadan dan Aidilfitri sehingga mereka berasa ragu-ragu untuk bersedekah.
“Mereka bukan dapat selalu pun. Setahun sekali saja. Apa salahnya kita gembirakan mereka yang sudah hilang insan tersayang dengan sama-sama berkongsi rezeki yang kita dapat dengan mereka.
“Janganlah sebab fikir mereka sudah dapat banyak sumbangan, mereka yang mahu bersedekah tak jadi bersedekah pula. Walau apa pun, amalan sedekah perlu diteruskan,” katanya.
Mengulas pusat perlindungan anak-anak yatim yang kurang diberi perhatian masyarakat kerana lokasinya yang terletak di pedalaman dan jauh dari bandar, Zawiyah berkata ianya bergantung kepada kemampuan mereka yang ingin bersedekah.
“Kalau mereka ada masa, tenaga dan rezeki lebih, mereka boleh buat pilihan untuk beri sedekah dan berbuka puasa dengan anak-anak yatim yang kurang mendapat perhatian dan terletak jauh dari tempat tinggal mereka,” katanya.
- MSTAR