Jual kerana suka-suka
Sewaktu mula-mula berkecimpung dalam perniagaan dalam talian secara suka-suka, Nur Atiqah Sulaiman, 25, hanya bermula dengan menjual lima helai tudung.
Melihat tudung yang tersebut terjual bak pisang goreng panas dalam masa sehari, dia yang lebih senang dipanggil Eyqa mengambil keputusan menjadikan perniagaan tersebut dengan lebih serius.
“Saya menjual tudung secara online sejak menuntut di Universiti Multimedia secara suka-suka untuk menampung perbelanjaan.
“Pada masa itu, pasaran saya bertumpu pada kawan-kawan belajar sahaja. Tidak terfikir pula untuk melakukannya secara serius sehinggalah bulan Oktober tahun lalu apabila rakan saya merangkap rakan kongsi saya, Muhammad Zulkarnaen Mohd. Ali mencadangkan perkara tersebut,” katanya yang mendaftarkan perniagaannya pada 1 Januari lalu.
Siapa sangka, bermula dengan minat membeli-belah secara online boleh menjadi titik mula Eyqa memulakan perniagaannya.
“Dulu, saya kerap membeli baju, kasut dan beg secara online. Pakai hanya beberapa kali, kemudian saya tidak pakai lagi dan menjualnya semula di Internet.
“Kini, saya lebih fokus untuk menjual pelbagai jenis tudung dengan harga yang sangat berpatutan. Selain tudung, barangan lain yang turut menjadi produk sampingan adalah baju dan biskut hasil air tangan rakan kongsi saya,” ujarnya.
Jualan meningkat
Jika dulu Eyqa jual sedikit demi sedikit pelbagai jenis tudung bermula dengan 20 helai hingga 60 helai seminggu, kini dia mampu menjual 800 helai dalam masa seminggu.
Sementara itu, Muhammad Zulkarnaen memberitahu, jualan tudung meningkat hampir sekali ganda menjelang hari raya sehingga mencecah 1,000 helai seminggu.
“Kami bukan sahaja menerima pesanan daripada pelanggan di Malaysia, malah turut menerima pesanan dari Brunei, Singapura, United Kingdom, New Zealand, Mesir, Arab Saudi, Puerto Rico dan Ireland.
“Menguruskan perniagaan ini sedikit memenatkan kerana semuanya kami lakukan sendiri, daripada memilih fabrik, menempah, membeli stok, mengambil dan menyunting gambar, pembungkusan serta penghantaran. Mujur ada rakan-rakan yang membantu,” katanya yang mengambil stok di sekitar Kuala Lumpur dan Indonesia.
Memegang status sebagai pelajar menuntut mereka pembahagian masa yang bijak supaya kedua-duanya bidang yang diceburi berjaya diuruskan dengan baik.
Menurut Muhammad Zulkarnaen, bermula dengan modal RM800 kini, usaha keras mereka membuahkan hasil dan merancang untuk membuka kedai dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selain mahu membuka kedai, rakan niaga ini juga merancang membuat rekaan tudung sendiri dan mengukuhkan lagi perniagaan mereka.
Bagi yang berminat menjamu mata melihat pelbagai tudung fesyen terkini boleh berkunjung ke http://www.colorscarfbyriqa.blogspot.com
- KOSMO!