Keluarga sedih anak perempuan ikut kekasih ke Lombok
TELUK INTAN 8 Sept. - Kehadiran 1 Syawal ini mungkin tidak bermakna buat pasangan suami isteri di Ladang Rubana di sini, apabila anak perempuan mereka dipercayai lari mengikut teman lelakinya ke Lombok, Indonesia, Sabtu lalu.
Kehilangan Shafikah Mohd. Safiee, 16, disedari selepas gadis itu tidak pulang ke rumah setelah keluar ke bandar empat hari lalu.
Bapanya, Mohd. Safiee Sardi, 43, memberitahu, pada hari kejadian, dia menghantar Shafikah di sebuah bank di bandar ini kerana anaknya itu ingin membeli sebuah komputer riba bersama seorang rakannya.
"Pukul 4 petang, 'kakak' (Shafikah) menghubungi telefon bimbit saya memberitahu dia melawat rakannya kemalangan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
"Pada sebelah malamnya, dia hubungi saya lagi dan menyatakan tidak dapat pulang ke rumah kerana kereta rakannya itu rosak.
"Saya kemudian pergi mencarinya di merata tempat sehingga menerima panggilan telefon memberitahu dia berada di Manjung dan dalam perjalanan pulang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun Shafikah tetap tidak pulang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.
Menurut Mohd. Safiee, hatinya bertambah remuk dan sedih selepas Shafikah menghubunginya semalam, menyatakan dia berada di Lombok sekarang.
"Dia menghubungi saya dengan nombor 006281991635703 meminta keluarga jangan risau kerana dia dalam keadaan selamat dengan seorang rakan di Lombok sekarang.
"Dalam perbualan itu, nada Shafikah dalam keadaan sedih dan tersekat-sekat dan ada suara lelaki yang mengajarnya bercakap dari belakang," katanya.
Sementara itu, ibunya, Mazarah Abdul Latef, 38, percaya Shafikah mengikut seorang pemuda Lombok berusia 20 tahun dikenali sebagai 'Misbah'.
Katanya, lelaki itu bekerja di sebuah ladang getah di Ladang Rubana di sini dan anaknya memang mengenalinya.
"Shafikah merupakan anak sulung dari empat adik beradik. Semua adik-adiknya sangat sedih dan tidak berminat untuk beraya kerana sangat merindui 'kakak'.
"Saya merayu mana-mana pihak yang boleh membantu membawa pulang anak saya supaya menghubungi saya di talian 019-5910829 atau 019-4659170," ujarnya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kehilangan Shafikah dan siasatan sedang dijalankan.
- UTUSAN