Penjenayah siber ancaman baru bolosi saluran internet

Jenayah siber di negara ini didapati meningkat pada suku kedua 2010 susulan beberapa faktor termasuk kelemahan perisian, acara Piala Dunia FIFA dan peningkatan populariti laman sosial seperti Twitter dan Facebook.

Data yang dikumpul oleh makmal Trend Micro, MicroLabs daripada April hingga Jun menunjukkan Internet adalah saluran utama ketibaan malware ke dalam sistem komputer diikuti oleh peranti fizikal mudah alih seperti cakera keras.

Laporan itu mendapati teknik lama seperti ‘phishing’ masih digunakan penjenayah untuk mencuri maklumat peribadi.
Malah, Trend Micro melaporkan satu laman ‘phishing’ yang menyerupai laman web rasmi kumpulan perbankan Public Bank baru-baru ini.

Penjenayah siber cuba mencuri maklumat pelanggan bank berkenaan dengan menjadikan mereka percaya bahawa laman login yang diberikan adalah sah.

Selain itu, acara sukan paling dinantikan, Piala Dunia FIFA baru-baru ini turut menjadi topik hangat yang ditunggu-tunggu oleh penjenayah siber.

Sepanjang tempoh itu, terdapat banyak mesej ‘spam’ yang menjanjikan hadiah atau memberitahu pengguna bahawa mereka telah memenangi hadiah tertentu. Bagi menuntut hadiah itu, pengguna diwajibkan memberi maklumat peribadi.
Selain Piala Dunia, berita serangan ke atas Gaza turut dieksploitasi oleh penjenayah siber menerusi serangan berbentuk mesej dalam Twitter yang mengakibatkan pengguna memuat turun ‘malware’ dihantar mereka.

Pada masa sama, Trend Micro turut mendapati terdapat mesej ‘spam’ yang berbentuk seperti buletin daripada Amazon yang memperdayakan penggunanya sehingga menyangkakan e-mel yang tertera di situ adalah sah.

Selain ancaman Internet, penjenayah siber turut mengambil kesempatan daripada beberapa kelemahan yang terdapat pada perisian seperti Adobe Reader (fail TIFF), komponen Skype iaitu EasyBits Extras Manager, Microsoft Windows Help Center dan Adobe Flash Player yang mendedahkan pengguna terhadap jangkitan ‘malware’.

Ancaman daripada media sosial dilihat sebagai satu bentuk ancaman baru muncul pada suku kedua lalu.

Satu lagi ancaman pada suku itu termasuk serangan besar-besaran yang membabitkan jenama komputer China, Lenovo.

Laman sokongannya yang direka bentuk bagi membolehkan pengguna memuat turun pemacu atau manual telah di kompromi oleh ancaman berniat jahat.

Kes serupa turut berlaku di luar negara apabila kira-kira 100,000 laman web termasuk Wall Street Journal dan Jerusalem Post telah di kompromi oleh penjenayah siber.

Sementara itu, ‘malware’ khusus yang disasar kepada pengguna Mac didapati disertakan sekali dengan aplikasi percuma serta penyelamat skrin.

Pengguna yang memuat turun dan memasang perisian berkenaan akan diarahkan kepada URL tertentu yang mana mereka akan memuat turun program berbahaya.

Sistem yang terjejas itu akan kehilangan maklumat sensitif memandangkan ‘malware’ itu berupaya merisik sistem rangkaian mangsanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url