Waspada sajian pada Aidilfitri
Apabila menjelangnya Aidilfitri pasti ramai yang membayangkan pelbagai juadah seperti lemang, ketupat, rendang daging, nasi himpit dan kuah kacang serta aneka jenis biskut untuk dinikmati sepuas-puasnya.
Bagi Said Ahmad (bukan nama sebenar) hari raya merupakan hari yang begitu menggembirakan. Setelah sebulan berpuasa bersama teman-teman di universiti, saat pulang ke kampung menikmati juadah air tangan ibu tersayang pasti dinanti-nanti dan tidak akan ditolak.
“Saya ingat lagi masa raya dua tahun lepas, emak masak pelbagai juadah. Paling saya suka adalah nasi himpit dan kuah kacang mak yang pekat, pedas dan manis. Saya makan begitu banyak sambil menikmati juadah lain seperti ketupat, lemang dan rendang.
“Malah, saya juga akan berkunjung ke rumah teman dan sanak-saudara untuk merasa pelbagai juadah lain yang menyelerakan,” kata jejaka berbadan besar itu.
Tapi kini, Said tidak lagi begitu teruja untuk menikmati juadah-juadah daripada ibunya selepas didiagnosis doktor dengan penyakit kencing manis tahun yang lalu.
Bagi lelaki berumur 22 tahun itu, masa depannya dirasakan gelap selepas mengetahui penyakit itu tiada ubatnya melainkan ia perlu dikawal sepanjang hayat. Dia juga disahkan doktor mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
“Saya fikir penyakit ini hanya dihidapi orang yang berumur tetapi rupanya tidak. Saya akui memang suka makan makanan manis dan kerap mengambil minuman berkarbonat untuk menambahkan tenaga tetapi malas untuk bersenam,” katanya mengenai punca dia mendapat penyakit diabetes.
Tidak boleh sembuh
“Kalau dulu pada tahun 1980-an penyakit diabetes sememangnya banyak menyerang mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Tetapi statistik kini pada tahun 2010 menunjukkan mereka yang berumur 20 hingga 30 tahun juga sudah ramai yang menghidap penyakit ini,” kata Pakar Perubatan dan Endokrinologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur, Dr. Sharifah Sakinah Syed Othman Al-Yahya.
Menurutnya, kegemukan abdomen (AO) merupakan satu faktor risiko bebas untuk penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan diabetes di kalangan orang dewasa.
“Penyakit diabetes, darah tinggi dan hipertensi merupakan penyakit kronik yang tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal sepanjang hayat. Jika tidak dikawal, penyakit diabetes boleh merosakkan salur darah seluruh badan. Ia juga merupakan akar pada penyakit lain iaitu kegagalan fungsi buah pinggang, jantung, gangren, strok dan kerosakan mata serta saraf,” katanya.
Malas bersenam
Kenapa orang muda kini mudah dijangkiti diabetes?
“Semuanya berpunca daripada sikap dan cara hidup. Pemakanan yang tidak dikawal dan malas bersenam juga menyebabkan ramai anak muda kini menjadi obes sekali gus menghidap diabetes.
“Jumlah mereka yang menghidap penyakit diabetes kini semakin membimbangkan. Pesakit kena ada pengetahuan tentang bahayanya penyakit ini.
“Libatkan diri dalam persatuan atau kumpulan penyakit diabetes, layari laman sesawang untuk mendapatkan info terkini mengenai penyakit ini dan kongsi masalah anda bersama pesakit diabetes lain di seluruh negara,” kata Sharifah Sakinah.
Sementara itu, menurut pakar pemakanan Hospital Pakar Ampang Puteri, Rose Hanizan Mat Hassan, orang ramai perlu mengubah sikap dengan mengawal pengambilan makanan lebih-lebih lagi menjelang perayaan.
“Kebanyakan orang ambil pelbagai jenis makanan mengikut nafsu tanpa mengetahui akibatnya di kemudian hari. Jangan terlalu banyak makan tetapi malas untuk bersenam,” katanya.
Jelasnya, paling penting orang ramai perlu ubah cara hidup dengan membanyakkan aktiviti menyihatkan badan. Bersenamlah sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu.
“Senaman yang dilakukan tidak perlu berat, cukuplah sekadar boleh mengeluarkan peluh. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan gula, lemak dan berkolesterol. Contoh, minuman berkarbonat dan makanan segera.
Amalkan makanan yang tinggi dengan fiber seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan roti. Selain itu, lebihkan pengambilan air masak.
Kawal pemakanan
Bagaimana kawalan pemakanan bagi pesakit diabetes ketika raya?
Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, sama seperti hari-hari yang lain, pesakit diabetes hendaklah menjaga pengambilan makanan ketika raya.
“Mungkin pengambilan makanan yang ‘lebih’ boleh diterima pada hari raya pertama. Namun, hendaklah bertukar kepada menu biasa selepas itu.
“Trend mengunjungi rumah terbuka yang dilakukan selama sebulan sepanjang Syawal hendaklah dikurangkan. Kalau terpaksa pun, pilihlah agar kita makan kuantiti yang berpatutan sahaja,” pesan Abdul Malik.
“Pesakit diabetes tidak perlu menolak terus untuk menjamah juadah raya seperti rendang dan lemang tetapi perlu mengambilnya dalam jumlah yang sedikit.
“Pesakit juga boleh ambil makanan manis tetapi kena tahu saiz hidangan yang betul. Apa yang penting mereka digalakkan mengambil makanan berkarbohidrat kompleks dan yang tinggi kandungan fiber.
“Contoh makanan karbohidrat kompleks ialah nasi beras perang, roti dan biskut bijirin,” tambah Rose Hanizan pula.
Berkongsi pengalaman bersama para pembaca, Rose Hanizan memberitahu, terdapat seorang pesakit yang selalu mengamalkan minuman isotonik kini menderita penyakit diabetes.
“Kebanyakan orang fikir air isotonik boleh menambahkan tenaga jika diambil tetapi mereka tidak sedar kandungan gula yang tinggi terdapat di dalamnya.
“Dalam satu kes lain, seorang pesakit obesiti tidak mengambil makanan seperti nasi dalam tempoh yang lama semata-mata ingin mengurangkan berat badan.
“Namun, apabila dia mula mengambil makanan berat badannya akan naik mendadak dan kemudiannya susah untuk turun,” katanya yang menyarankan orang ramai menambahkan pengetahuan atau berjumpa mana-mana pakar pemakanan untuk mengetahui cara mengawal pemakanan yang betul.
- KOSMO!