Top Ad 728x90

,

Harga Naik, Perokok Macam Mana!



Baru-baru ini, harga rokok telah meningkat sebanyak 70 sen bagi satu pek 20 batang rokok yang sebelum ini dijual pada harga RM9.30.

Peningkatan harga rokok kepada RM10 itu adalah satu kenaikan harga tertinggi untuk rokok kerana sebelum ini kenaikan harga adalah antara 10 sen hingga 30 sen.

Kenaikan tersebut adalah langsung daripada harga minimum rokok ditetapkan pada harga RM6.40 bagi 20 batang sebelum ini apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Kenaikan itu akan menyebabkan pek rokok bergred tinggi dijangka melonjak kepada RM14 dan menyebabkan jualan rokok akan menurun sebanyak 10 peratus.

Malah ketika Mingguan mStar mendapatkan komen daripada Pengarah Komunikasi Korporat Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd, Richard James, berhubung perkara itu, beliau berkata, kenaikan itu berkemungkinan menyebabkan pasaran rokok seludup bakal berleluasa di negara ini.

Richard berkata, pada ketika ini, kadar penyeludupan rokok tiruan berada pada tahap 37 peratus dan angka itu telah cukup untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang paling teruk mengalami masalah penyeludupan rokok menurut satu penyelidikan yang dilakukan oleh Goldman Sachs Group Inc.

“Keputusan kerajaan menaikkan cukai akan menyebabkan masalah penyeludupan rokok bertambah teruk,” katanya.

Daripada kenyataan Richard itu jelas menggambarkan perokok di negara ini sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu mereka yang tidak berkesudahan itu.

Kempen anti-merokok ‘Tak Nak’ yang dilancarkan oleh kerajaan dengan peruntukan promosi membabitkan kos sebanyak RM100 juta masih juga gagal mengurangkan tabiat merokok kerana setahun selepas promosi itu, jumlah perokok wanita meningkat sekali ganda.

Menurut satu sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengatakan pihak mereka tidak mempunyai statistik purata bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan untuk perkhidmatan berhenti merokok memburukkan gambaran mengenai perokok di negara ini.

“Khidmat ini tidak sekata bagi seluruh negara dan bergantung kepada minat dan kemampuan pegawai yang menyampaikan khidmat berhenti merokok di Klinik masing-masing serta kesungguhan pesakit untuk meninggalkan tabiat buruk mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Mingguan mStar terhadap perokok tegar mengenai kenaikan harga rokok menunjukkan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai hasrat untuk berhenti dengan alasan sukar untuk meninggalkan tabiat itu.

Kebanyakan daripada mereka juga bercadang untuk mendapatkan jenama rokok yang lebih murah sebagai ganti untuk memuaskan nafsu mereka dan bersetuju kes penyeludupan rokok akan lebih bertambah teruk di negara ini.

Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, dan dengan kenaikan harga rokok angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat.

Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Peningkatan jumlah perokok itu menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

Dengan ketagihan terhadap tembakau merupakan penyebab kedua kematian di dunia selepas penyakit tekanan darah tinggi, pandangan serta langkah bersungguh-sungguh perlu diambil terhadap pasaran tembakau di negara ini.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90