Kualiti udara di Muar bahaya, Melaka tak sihat
Indeks pencemaran udara (IPU) bagi Muar, Johor dilaporkan pada keadaan amat berbahaya manakala bagi kebanyakan tempat di Melaka pula ia diletakkan dalam keadaan tidak sihat.
Sehubungan dengan keadaan jerebu yang dikategorikan sebagai amat bahaya ini, jabatan pelajaran Muar mengarahkan semua sekolah di daerah itu supaya membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah.
Pada jam 11 pagi tadi, bacaan di Muar adalah pada 432 sementara bacaan yang diukur di Bukit Rambai, Melaka pada 95 dan bandaraya Melaka pada 111.
Menurut laman sesawang, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar - www.doe.gov.my - bacaan melebih paras 100 dikategorikan sebagai tidak sihat dan bacaan melebihi 300 pula dikatakan amat bahaya.
Kategori sihat adalah ukuran IPU daripada 0 hingga 50 manakala 51 hingga 100 sebagai sederhana.
Kualiti udara yang merosot juga dilaporkan di beberapa tempat seperti di utara Jojor, Negeri Sembilan dan Selangor sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut JAS keadaan berjerebu itu disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.
Ia berikutan peningkatan bilangan titik panas di Sumatera kepada 244 sejak empat hari lalun, berbanding 80 yang dikesan pada 16 Oktober.
"Imej satelit NOAA-18 pada 17 Oktober 2010 juga menunjukkan terdapat pergerakan asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Wilayah Sumatera Selatan dan Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia," kata jabatan itu.
- MALAYSIAKINI