Jumaat, Oktober 22, 2010

Khidmat Bank Islam di tapak tangan



KUALA LUMPUR 20 Okt. - Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) berhasrat meluaskan sistem perbankan atas tapak tangan (TAP) tanpa akses internet ke luar negara pada suku kedua tahun depan, selepas melancarkannya di Malaysia hari ini.

Sistem terbaharu itu akan membolehkan pelanggan bank menggunakan telefon mudah alih daripada pelbagai jenis dan jenama untuk mengakses akaun simpanan dan menjalankan urus niaga.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, perluasan ke peringkat antarabangsa merupakan fasa kedua pembangunan sistem perbankan itu.

Katanya, fasa pertama adalah pembangunan dan pengoperasian dalam negara dengan modal pelaburan kira-kira RM1 juta.

''Sekarang, kami memberikan tumpuan kepada pasaran tempatan selain memperluaskan rangkaian bayaran bil supaya ia menyeluruh sehingga kepada pembayaran zakat,'' katanya selepas melancarkan TAP di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Pengurus Besar Bank Islam (Perbankan Pengguna), Khairul Kamarudin.

Melalui TAP, para pelanggan boleh membuat urusniaga seperti pindahan akaun ke akaun bank lain, bayaran bil serta hampir semua kemudahan yang terdapat di kaunter bank.

Perbankan telefon selular tidak memerlukan telefon canggih, sebaliknya ia boleh diaplikasikan dengan semua jenis telefon.

Para pelanggan hanya perlu mendaftar kad sim telefon selular masing-masing dengan Bank Islam dan ia akan diformatkan dengan aplikasi perbankan tersebut.

Perkhidmatan melalui telefon selular itu diuji selamat dan menggunakan dua kata laluan.

Bank Islam mengenakan kadar bayaran yang rendah dan terdapat beberapa transaksi tidak dikenakan bayaran seperti pindahan dana ke akaun keluarga serta untuk pertanyaan baki bagi tempoh tiga kali.

Tambah Zukri, Bank Islam menyasarkan untuk meraih 100,000 pelanggan, termasuk pelanggan baru dan sedia ada, menggunakan perkhidmatan TAP dalam tempoh 12 bulan pertama ia diperkenalkan.

Bank yang mempunyai 108 cawangan itu kini mempunyai asas pelanggan seramai 2.4 juta orang.

- UTUSAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts