Top Ad 728x90

SPAD dijangka beroperasi penuh Januari 2011


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijadualkan beroperasi sepenuhnya sebagai badan yang menyelia perkhidmatan awam darat bermula Januari nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, bacaan kali kedua pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membolehkan SPAD mempunyai kuasa dalam penguatkuasaan dan perlesenan.

"Bagaimanapun sementara menanti pindaan akta itu, pada masa ini, SPAD beroperasi mengikut kapasiti di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

"Pindaan itu penting bagi membolehkan suruhanjaya dapat memainkan peranan sebagai badan yang menyelia pengangkutan awam darat serta menyerap unit-unit sektor kerajaan yang berkaitan ke dalam SPAD," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran perkhidmatan KLIA Ekspres VIP-Executive Home-to-Airport Pick-up di KL Sentral hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL), Noormah Mohd. Noor; Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Muhd. Nur Ismal Mohamed Kamal dan Ketua Pengarah Jabatan Keretapi, Anuar Kassim.

Dalam pada itu, Syed Hamid mengucapkan tahniah bagi inisiatif dan kreativiti pihak ERL bagi menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam seperti ERL yang mesra alam sekitar di samping memenuhi kehendak mereka.

Normah berkata, perkhidmatan tersebut membolehkan pengguna menikmati layanan istimewa dari rumah hingga KLIA dan dari KLIA hingga ke rumah.

"Kenderaan yang disediakan terdiri daripada Toyota Camry, Ssangyong Stavic bagi kenderaan eksekutif sementara kereta jenis Mercedez-Benz E-Class untuk perkhidmatan premier.

"Pelanggan perlu membayar RM135 bagi zon satu yang dalam lingkungan 15 kilometer dari KL Sentral dan RM185 bagi jarak 40 kilometer seperti Gombak, Subang Jaya dan Kajang. Bagi pakej premier, pelanggan perlu menambah sebanyak RM55," ujarnya.

Sempena pelancaran itu, ERL akan memberi satu keping tiket kereta api KLIA Ekspres bagi setiap tempahan rumah dalam perkhidmatan VIP.

Tempahan mestilah dibuat pada 21 Oktober hingga tiga November dan perjalanan mestilah pada atau sebelum 31 Disember.

Pelanggan boleh menempah di talian 03-22789009 dari pukul 6.00 pagi hingga 11.30 malam atau melalui laman web www.VIPservice.com.my

- UTUSAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90