Melayu paling banyak didera fizikal, emosi - Kajian
Kajian dijalankan Institut Gerontologi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga mendapati daripada 480 orang warga tua yang ditemui, 125 atau 26 peratus daripada mereka mengaku pernah mengalami penderaan fizikal dan emosi.
Pengarahnya, Prof Madya Dr Tengku Aizan Hamid, berkata penderaan dari segi emosi terhadap warga tua paling membimbangkan dan boleh membawa kepada beberapa faktor lain seperti hilang kewarasan dan hidup melarat.
“Kebanyakan warga tua mengalami penderaan fizikal dan emosi adalah wanita atau ibu. Walaupun bukan semua wanita yang terbabit adalah golongan ibu, tetapi peratusan mereka lebih tinggi berbanding yang lain.
“Dari segi taraf hidup pula, golongan berpendapatan rendah paling banyak mengalami penderaan fizikal dan emosi. Mungkin kerana faktor kehidupan kita yang membuatkan merekamenjadi mangsa penderaan.
“Ini agak membimbangkan kerana seharusnya warga tua dilayan dengan baik, tetapi apa yang kita lihat kini, konsepnya sudah berubah seolah-olah masyarakat kita sudah tidak mempunyai nilai moral,” katanya ketika ditemui Berita Minggu.
Kajian juga menunjukkan penderaan fizikal tidak terhad kepada wanita, malah berlaku di kalangan lelaki. Daripada 26 peratus mengaku didera, 14 peratus alami penderaan emosi; penderaan membabitkan harta dan kewangan (10.2 peratus); penderaan fizikal (9.6 peratus) dan seksual (0.4 peratus).
“Mungkin juga faktor kehidupan kini yang semakin mencabar sehingga membuatkan anak terlupa percaturan sebenar hidup. Jika ingin diberikan sebab kenapa perkara ini berlaku, pada saya terlalu banyak puncanya.
“Apa yang penting institusi kekeluargaan itu sendiri kena kukuh. Jika diberikan pendidikan sempurna dan terbaik kepada anak, tidak mungkin perkara ini akan berlaku,” katanya.
- BERITA MINGGU