Banyak jalan mencari bahagia perkahwinan
Perkahwinan dan berkeluarga adalah kaedah. Ia merupakan kenderaan dalam perjalanan. Bukannya destinasi. Apa yang menjadi matlamat ialah kebahagiaan.
Justeru apabila dalam perkahwinan dan keluarga tidak tercapai kebahagiaan, maka jalannya adalah perceraian dan merungkaikan kekeluargaan.
Untuk memandang bahawa perkahwinan dan kekeluargaan mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan menunjukkan kekeliruan antara apa tujuan institusi itu. Matlamatnya adalah kebahagiaan. Jika matlamat itu dilihat tidak ada harapan, maka proses selanjutnya ialah perceraian.
Kadar perceraian dikatakan meningkat dan dijangka terus meningkat pada masa akan datang. Maka orang bercakap mengenai perkahwinan tetapi isu sebenarnya adalah kebahagiaan.
Sememangnya banyak faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian tetapi ada satu faktor yang perlu diambil kira apabila mencari-cari mengapa kadar perceraian meningkat. Untuk melihat faktor ini wajar diterima bahawa ada kalanya perceraian itu lebih baik daripada meneruskan perkahwinan.
Kebahagiaan dalam perkahwinan seharusnya bersifat menang-menang untuk kedua-belah pihak, suami dan isteri. Jika hanya sebelah pihak, maka tentu institusi keluarga tidak mencapai matlamat.
Faktor yang tidak dapat dielakkan ini melibatkan perubahan sosio-ekonomi zaman ini yang melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan.
Seringkali apabila disebut soal perkahwinan dan kekeluargaan, orang akan mencari pakar dan nasihat daripada golongan agama. Maka akan diperoleh nasihat-nasihat dari sudut hukum-hakam dan pengalaman ulama-ulama terdahulu antaranya dari suasana masyarakat Arab.
Tetapi pada hari ini dengan perubahan sosio-ekonomi yang begitu pesat dengan dipacu oleh teknologi maklumat, pakar-pakar sains sosial moden perlu dirujuk, antaranya dari kalangan ahli sosiologi, psikologi, ekonomi dan juga pakar berhubung kesan teknologi maklumat kepada masyarakat.
Kembali kepada soal mengapakah kadar perceraian meningkat pada zaman ini? Adakah sekarang orang tidak berbahagia untuk hidup dalam keluarga berbanding dahulu?
Atau mungkinkah dahulu pun orang tidak berbahagia tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain?
Seringkali orang akan menyebut betapa ibu bapa dan datuk nenek mereka berbahagia hidup bertahun-tahun bersama. Tidak seperti masa ini.
Ekonomi
Tidakkah mungkin bahawa dahulu pun orang perempuan yang berasa tidak berbahagia tetapi oleh kerana kedudukan ekonomi yang bergantung pada suami membuatkan pilihan perceraian sesuatu yang di luar perkiraan?
Ataupun kesedaran itu tidak ada. Lebih-lebih lagi keadaan di kampung dan hidup bermasyarakat dan berkeluarga besar tidak memungkinkan untuk berfikir mengenai perceraian?
Pada masa ini orang perempuan memperoleh pendidikan dan bekerja. Sudah tentu selain daripada mereka lebih bebas dan peluang untuk menemui orang lain bagi mendapat kebahagiaan adalah lebih besar daripada dahulu.
Adanya teknologi maklumat memudahkan lagi untuk orang mencari kebahagiaan lain yang tidak diperoleh daripada keluarganya.
Perceraian dan menjadi janda seharusnya tidak menjadi stigma kerana ia merupakan proses seseorang mengharungi hidup yang nasibnya berbeza di antara satu sama lain. Tidak semua orang bernasib baik untuk memperoleh pasangan yang serasi sehingga akhir hayat.
Ada masanya berlaku ketidakserasian dan proses perceraian adalah satu jalan keluar. Lebih baik bercerai pada waktu yang lebih muda terutama bagi perempuan untuk membolehkannya tidak terus menanggung penderitaan. Sebaliknya memperoleh peluang untuk bahagia dalam mencari pasangan pengganti.
Hakikatnya bahawa hubungan antara lelaki dan perempuan sudah berubah di zaman ini berbanding dahulu. Perempuan di seluruh sudah dibebaskan untuk memiliki pendidikan yang setaraf dengan lelaki, dan sudah tentu mampu memperoleh kerjaya.
Justeru mereka juga mempunyai impian dan harapan yang berbeza. Tidak seperti dahulu di mana impian dan harapan perempuan bergantung semata-mata pada suaminya.
Dengan keupayaan perempuan mempunyai pendapatan sendiri tentulah hubungannya dengan lelaki juga sudah berubah.
Media massa global juga membuka mata perempuan kepada cara hidup orang dalam masyarakat lain. Tentulah akhirnya mereka juga terfikir bahawa kalau dalam masyarakat lain, perempuan mereka bebas menentukan jalan sendiri, mengapa pula mereka tidak boleh.
Akhirnya dapat dilihat bahawa cara hidup manusia berbeza. Ia tidak boleh dikotakkan kepada sesuatu bentuk atau institusi.
Sememangnya dilihat bahawa institusi keluarga yang berbahagia adalah dalam bentuk suami dan isteri dengan anak-anak. Tetapi itu ideal. Tidak semua orang bernasib baik untuk memperoleh keadaan demikian.
Ataupun apa yang dikatakan nasib baik atau tidak juga boleh dipersoalkan. Tidak semestinya orang yang memilih kehidupan sendiri itu bernasib tidak baik. Kalau keadaan hidup sebegitu bersesuaian dengan dirinya, maka itu adalah pilihannya.
Terdapat banyak jalan menuju kepada kebahagiaan. Semua orang berhak untuk bahagia kalaulah hendak dikatakan bahawa sememangnya manusia mempunyai hasrat untuk berbahagia.
Maka dalam keadaan ini mengambil contoh bagaimana orang dahulu berbahagia tentu sukar untuk dilihat relevannya.
Kunci kepada kebahagiaan adalah saling hormat-menghormati hak, impian dan kehendak seseorang. Akhirnya diri sendiri yang bertanggungjawab terhadap kebahagiaannya.
- MINGGUAN MALAYSIA