Isnin, November 22, 2010

Lima lagi Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia dibina

Jabatan Tenaga Manusia (JTM) kini dalam proses menyiapkan lima lagi institut latihan di bawah kendaliannya yang dijangka mampu menempatkan kira-kira 5,000 pelatih baru, sekali gus mendekati sasaran melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran dalam pelbagai bidang serta menjadikan Malaysia negara industri menjelang 2020.

Ketua Pengarah JTM, Romli Hassan, berkata daripada jumlah itu empat Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) bertaraf Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dibina masing-masing di Jerantut, Pahang; Bintulu, Sabah; Serting, Negeri Sembilan dan Kemaman, Terengganu, selain sebuah Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Marang, Terengganu.

Beliau berkata, ketika ini ada 27 ILJTM di seluruh negara dengan kapasiti 18,000 penuntut dan pembukaan lima lagi institut latihan itu membolehkan jumlah pelatih ditingkatkan hingga 23,000 orang.
“Sejak 15 tahun lalu, ILJTM berjaya melahirkan graduan berkualiti tinggi dan kajian menunjukkan 73 peratus graduan institut itu berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

“Malah, sebahagian besar kini turut mendapat kepercayaan dan bekerja dengan syarikat negara luar antaranya Singapura, Dubai dan China,” katanya selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Ke-15 ILJTM di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.

Seramai 8,693 graduan ILJTM dengan 6,672 graduan peringkat Sijil, manakala 1,991 peringkat Diploma dan 30 lagi Diploma Lanjutan diraikan pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, ramai pihak masih memandang rendah dan menganggap bidang kemahiran adalah kelas kedua berbanding akademik lain, sedangkan bidang kemahiran adalah antara yang terpenting dalam memacu pembangunan negara ketika ini.
“Sebagai contoh, banyak bidang yang kita tawarkan membolehkan graduan memperoleh pendapatan tinggi antaranya kimpalan; juruteknik dan minyak dan gas.

“Malah, ada juga mereka yang bekerja dalam bidang kimpalan di dasar dan pesisir laut memperoleh pendapatan sehingga lebih RM12,000 sebulan. Ada juga yang bekerja bidang kimpalan mengikut syif dan dibayar S$135 (RM324) sejam,” katanya.

Dalam perkembangan lain Romli berkata, pihaknya kini sedang giat memastikan penuntut ILJTM diberi nilai tambah terutama dalam mempertingkatkan keupayaan komunikasi dan keyakinan diri yang tinggi di kalangan penuntut sebagai antara ciri penting dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.

- BERITA MINGGU

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts