Ahad, Disember 26, 2010

191,262 ingkar bayar pinjaman PTPTN

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya menerima bayaran balik pinjaman RM2.1 bilion berbanding RM5 bilion yang sepatutnya diterima sehingga bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, RM2.9 bilion lagi gagal dikutip daripada 191,262 peminjam yang telah tamat pengajian.

"Pembayaran secara sukarela oleh peminjam tidak berkesan apabila 191,262 daripada keseluruhan peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penganugerahan pakaian dan beg sekolah, meraikan pelajar cemerlang dan miskin peringkat Parlimen Kuala Krau di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar dan ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau kesal dengan tindakan segelintir peminjam terbabit yang liat untuk membayar balik pinjaman.

Sehubungan itu, tegasnya, mulai Jun tahun depan, semua peminjam PTPTN akan diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji bagi menangani masalah hutang tertunggak.

"PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya.

Ismail memberitahu, PTPTN telah membelanjakan RM37 bilion untuk memberi pinjaman kepada 1.7 juta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 13 tahun lalu.

"Bagaimanapun daripada keseluruhan pelajar yang mendapat pinjaman itu hanya 77 peratus yang membayar balik selepas mereka menghabiskan pengajian di IPT," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts