330 pelajar cemerlang SPM/STPM terima biasiswa RM16 juta
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan Bantuan Kewangan dan Geran Akademik 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) itu kepada 300 pelajar SPM dan 30 pelajar lepasan STPM tahun lepas dari pelbagai kaum dan latar belakang keluarga.
Geran yang julung kali diperkenalkan itu menyaksikan lepasan STPM paling cemerlang iaitu dengan keputusan 5A1 mendapat biasiswa bernilai RM15,000 hingga RM20,000 setahun untuk sepanjang tempoh pengajian di institusi pendidikan dipilih.
Lepasan SPM cemerlang dengan keputusan minimum 10A pula menikmati bantuan kewangan antara RM7,500 hingga RM15,000 setahun bagi sepanjang tempoh pengajian di institusi pendidikan yang dipilih.
Kesemua penerima geran itu dikenal pasti melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Perdana Menteri berkata, pemilihan para pelajar tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dan keadilan sosial bagi memastikan pelajar cemerlang kurang berkemampuan dan mereka yang tinggal di luar bandar turut sama diberikan peluang melanjutkan pelajaran.
"Ini adalah geran dan bukannya pinjaman, jadi tidak perlu risau kena bayar balik. Kita tidak mengikat mereka dengan kerajaan tetapi apa yang kita harapkan para pelajar dapat berkhidmat kepada negara.
"Usaha yang kita lakukan ini adalah satu bentuk pelaburan dan bukannya perbelanjaan kerana modal insan adalah satu aset paling besar yang memberikan nilai kepada diri, keluarga dan negara, sebab itu kita berikan penekanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kewangan dan Geran Akademik 1MDB itu di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Ismail Alias dan Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari bahawa pelajaran amat dekat di hati rakyat dan hasil maklum balas diterima melalui blog peribadinya, 1Malaysia.com.my mendapati peluang melanjutkan pelajaran merupakan permintaan yang menjadi keutamaan.
Untuk itu katanya, kerajaan mengambil langkah bermakna untuk menjamin peluang pendidikan seluas-luasnya seperti pada tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan biasiswa program ijazah dalam dan luar negara kepada 12,000 pelajar cemerlang, selain banyak usaha dilakukan oleh Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).
Bagaimanapun katanya, kerajaan menyedari masih terdapat ramai pelajar cemerlang yang membuat permintaan untuk mendapat melanjutkan pelajaran dan ada yang terlepas peluang mendapat biasiswa JPA kerana faktor purata keputusan peperiksaan begitu tinggi.
Lantas katanya, beliau dan timbalan bersama JPA dan 1MDB berbincang bagi mengambil inisiatif baru mewujudkan bantuan kewangan dan geran akademik tersebut.
"Ia dibuat melalui prinsip meritokrasi untuk mengiktiraf pelajar-pelajar cemerlang dan prinsip pentingnya keadilan sosial.
"Jika hendak negara mara ke hadapan dan berdaya saing, maka kalau tidak iktiraf prinsip cemerlang dan prestasi tinggi, kita tidak mungkin dapat apa yang diidamkan itu,'' katanya.
Namun katanya, kerajaan turut mengambil kira keseimbangan antara pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman dan mereka yang datang dari keluarga kurang berkemampuan.
"Kalau dibandingkan pelajar di Hulu Tembeling, Pahang dengan pelajar di Pantai Hills, tentu pencapaiannya rendah sedikit dan berbeza dengan pelajar cemerlang di bandar.
"Jadi jangan nafikan yang keputusan rendah sedikit tetapi cemerlang dari keluarga miskin yang perlu diberikan peluang untuk sosial mobiliti.
"Kalau boleh anak sesiapa pun dapat berjaya kalau rajin belajar dan kita memberikan peluang seadil mungkin dengan merentasi kumpulan etnik," katanya.
- UTUSAN