Buraqoil - Enam stesen mini dinaik taraf


Setakat ini BuraqOil telah menaik taraf enam stesen mini di luar bandar dan ia telah beroperasi sepenuhnya di bawah jenama itu.

Stesen-stesen tersebut termasuk tiga di Langkawi dan satu di Baling, Kedah. Manakala dua lagi masing-masing terletak di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Sungai Siput, Perak.

Pada masa sama sebanyak 32 stesen minyak mini lagi akan mengikut jejak langkah enam stesen perintis berkenaan yang akan dinaik taraf dalam masa terdekat.

Ini merupakan langkah yang diambil oleh Konsortium Ikatan Pengedar Terus Bumiputera Sdn. Bhd. (IPTB) dalam usaha memastikan khidmat stesen minyak di luar bandar adalah memenuhi piawai yang ditetapkan.

Ia bukan soal untuk membunuh perniagaan peniaga-peniaga tradisi, tetapi bagi memastikan aspek keselamatan terjamin dalam menjual bahan api yang mudah terbakar itu.

Menyorot kembali secara ringkas sejarah IPTB, syarikat bumiputera yang beribu pejabat di Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng itu, ia ditubuhkan pada tahun 2003 oleh sekumpulan tenaga pakar yang mempunyai kombinasi pengalaman selama 70 tahun dalam perniagaan berasaskan minyak dan gas.

Bagaimanapun, penglibatan secara langsung IPTB dalam industri hiliran tersebut hanya bermula pada tahun 2007 apabila syarikat itu diberi mandat oleh kerajaan membekalkan bahan-bahan petroleum kepada stesen-stesen minyak mini luar bandar.

Menurut Pengersuai IPTN, Tan Sri Sabbaruddin Chik, mandat tersebut bermakna IPTB bertanggungjawab memastikan pengagihan bahan api subsidi kepada golongan sasaran di kawasan luar bandar tidak diselewengkan dan telus.

"Apabila stesen minyak mini mula beroperasi sejak tahun 2000, banyak kes penyelewengan minyak bersubsidi berlaku yang menyebabkan kerajaan rugi.

"Selain itu, amalan menjual petrol dan diesel dalam botol, tong plastik dan drum berlaku secara berleluasa tanpa pengawasan pihak berkuasa.

"Ini menyebabkan para pengguna di luar bandar ditindas kerana terpaksa membeli pada harga yang jauh lebih mahal daripada harga subsidi.

"Kualitinya juga tidak terjamin kerana wujud kes-kes penipuan seperti petrol yang dicampur dengan bahan-bahan lain yang menimbulkan masalah kepada pengguna," katanya.

Justeru, kerajaan mengambil keputusan menggunakan sistem yang lebih sistematik dengan melantik tiga syarikat utama bagi membekakan produk petroleum di luar bandar.

"Ini termasuklah IPTB yang membekalkan produk petroleum kepada stesen minyak mengikut zon-zon yang telah ditetapkan," katanya.

Kejayaan mendapatkan pengiktirafan dan dianugerahkan sijil ISO 9001 pada 2009 baru-baru ini membuktikan sistem pengurusan dan ciri-ciri keselamatan yang diamalkan oleh IPTB adalah berkualiti serta mengikut standard yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Sabbaruddin berkata, bilangan stesen minyak mini yang ada di seluruh negara adalah 332 buah dengan198 daripadanya bernaung di bawah IPTB. Ia merangkumi kawasan luar bandar Zon Utara iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak; Zon Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dan Zon Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

Penjenamaan stesen minyak mini

Peranan stesen minyak mungkin tidak begitu penting kepada penduduk luar bandar. Jika di bandar stesen minyak lengkap dengan mesin mengeluarkan wang dan serbaneka, tetapi di luar bandar petrol hanya dijual di tepi-tepi jalan atau kedai runcit.

Bagi mereka yang pernah membesar di kawasan kampung tentu biasa membeli minyak petrol dalam botol di kedai-kedai runcit untuk diisi ke dalam tangkai kapcai.

Harganya tidak mahal. Hanya RM1 sebotol. Sekali isi memadai untuk meronda sekeliling kampung untuk sehari dua dan buat mengangkut padi dan getah sekerap.

Ada juga yang dijual menggunakan pam. Tetapi ia bukan pam yang biasa di stesen minyak. Tetapi petrol di dalam tong drum akan di pam ke dalam satu balang di atasnya yang mempunyai garisan sebagai sukatan.

Itu antara senario penjualan petrol dan diesel satu ketika dahulu di luar bandar yang kini sudah mengalami perubahan.

Senario itu kemudiannya diganti dengan stesen-stesen minyak kecil oleh pengusaha individu terutama di beberapa daerah di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Stesen minyak mini itu agak daif dan usang dan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya.

Kini, perniagaan petrol dan diesel di kawasan luar bandar sekali lagi melalui proses transformasi dengan stesen yang lebih kemas dan menarik menggunakan lambang kuda terbang.

Stesen minyak mini berimej merah kuning menggunakan jenama BuraqOil itu kini merupakan pilihan untuk penduduk di luar bandar.

Meskipun masih belum menyeluruh dan masih terdapat penjualan petrol secara tradisional itu, namun BuraqOil bakal berkembang untuk memastikan masyarakat luar bandar juga mempunyai kemudahan stesen minyak yang lengkap.

Diilhamkan daripada buraq, kenderaan tunggangan Nabi Muhamamad SAW ketika peristiwa Israk Mikraj, BuraqOil merupakan jenama rangkaian stesen minyak mini yang dibangunkan oleh Konsortium Ikatan Pengedar Terus Bumiputera (IPTB) Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat berlesen yang menjalankan aktiviti pembekalan produk petroleum.

Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik memberitahu, IPTB membawa misi besar yang diamanahkan oleh kerajaan bagi menjalankan program pembangunan dan penjenamaan semula stesen-stesen minyak mini luar bandar yang bermula sejak tahun 2008.

Stesen-stesen minyak terbabit katanya, pada suatu ketika dulu sangat daif serta menggunakan pelbagai nama kerana tidak ada penyeragaman dari segi operasi sehingga menghakis keyakinan orang ramai terhadapnya.

"Kini, kami diberi mandat oleh kerajaan untuk merubah wajah dan menukar imej negatifnya daripada stesen minyak usang tidak terurus kepada sebuah stesen minyak yang lebih berintegriti dan berdaya saing di bawah jenama BuraqOil," katanya.

BuraqOil bukan sekadar menyediakan kemudahan stesen minyak di luar bandar, tetapi ia turut merangkumi program penjenamaan merangkumi reka bentuk dan penampilan stesen yang lebih canggih dan menepati ciri-ciri keselamatan mengikut piawaian yang ditetapkan serta mesra pengguna.

Beberapa penambahbaikan juga dilakukan termasuk pembukaan kedai serbaneka yang dikenali sebagai BuraqMart.

Ia sebagai langkah menambah pendapatan pengusaha stesen minyak dan merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di kawasan terbabit.

"Proses penjenamaan semula ini membabitkan kos antara RM250,000 sehingga RM500,000 bergantung kepada pakej yang kita sediakan iaitu mengikut saiz premis dan bilangan pam petrol serta diesel yang ada di stesen berkenaan.

"Melalui program pembangunan dan penjenamaan semula itu juga, IPTB akan bertindak sebagai perunding dan pemaju yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menambah baik pengurusan stesen minyak mini termasuk menyediakan latihan pengendalian stesen dan latihan keusahawanan kepada pengusaha-pengusahanya," jelasnya.

Dengan BuraqOil, stesen mini luar bandar lebih baik dari segi reka bentuk, struktur pengurusan dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Seterusnya, ia akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap stesen minyak mini itu sekali gus menjadikannya lebih berdaya saing.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url