Top Ad 728x90

,

iPad mengecam tumbuhan


Maklumat kini hanya di hujung jari. Masakan tidak, anda hanya perlu duduk di hadapan komputer, tekan sahaja papan kekunci dan tetikus seterusnya pilih apa sahaja maklumat yang dikehendaki.

Sama ada maklumat tersebut mengandungi unsur positif mahupun negatif ia terpulang kepada anda untuk menilai baik buruk maklumat yang dipaparkan.

Namun bagi yang tahu akan kelebihan serta manfaat teknologi maklumat tanpa sempadan tersebut pastinya ia tidak akan disia-siakan.

Mengambil kesempatan terhadap perkembangan teknologi yang rancak kini, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah Fakulti Perhutanan memperkenalkan satu sistem pengecaman tumbuhan menggunakan teknologi terkini.

Lebih membanggakan, teknologi tersebut turut diterapkan dalam bidang penyelidikan perhutanan universiti tersebut, iaitu di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong, Selangor.

Sistem tersebut melibatkan penggunaan gajet pintar iPad keluaran Apple serta kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi).

Ketua Seksyen Hutan dan Ladang, Fakulti Perhutanan, UPM, Dr. Paiman Bawon menjelaskan, idea menggunakan iPad serta internet untuk tujuan mengenali tumbuhan telah lama beliau fikirkan.

Ia direalisasikan dengan bantuan Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi UPM.

Jika dahulu pelajar serta pengkaji perlu membawa buku rujukan ketika membuat latihan praktikal pengecaman tumbuhan, namun kini tidak perlu berbuat demikian lagi.

"Penggunaan iPad bertujuan memudahkan proses pengecaman serta pengenalan spesies tumbuhan selain menawarkan data yang lebih banyak.

"Pihak UPM, Fakulti Perhutanan khususnya telah memperuntukkan sebuah kawasan khas untuk ditanam dengan tumbuhan herba serta dilengkapi dengan kemudahan WiFi di sekitarnya," jelasnya.

Paiman yang ditemui di pejabatnya di HSAH baru-baru ini berkata, kemudahan Internet serta iPad telah dilaksanakan awal 2010.

Tambah beliau, pengkaji hanya perlu membawa iPad ketika melakukan pengecaman dalam masa yang sama mengakses laman web yang disediakan oleh Fakulti Perhutanan untuk mendapatkan maklumat serta data berkenaan tumbuhan yang terdapat di dalam kawasan khas tersebut.

Bagaimanakah sistem tersebut berfungsi?

Pastinya setiap tumbuhan yang ada di dalam kawasan khas tersebut terlebih dahulu akan dikenal pasti oleh Renjer Hutan UPM yang berkhidmat di HSAH.

Kemudian setiap tumbuhan akan ditandakan dengan nombor kod tertentu untuk memudahkan penyelidik menyemak melalui laman web yang tersedia dengan menggunakan iPad .

"Dari situ terus terpapar maklumat lengkap berserta gambar tumbuhan yang sedang dikenal pasti," katanya.

Justeru, pengkaji tidak perlu membawa spesimen tumbuhan ke makmal untuk tujuan pengecaman malah ia boleh dilakukan serentak di dalam kawasan hutan HSAH.

Jelas Paiman, pihak Fakulti Perhutanan juga dalam proses untuk menambah bilangan iPad serta berusaha memperluaskan kawasan hutan khas tersebut.

Sehingga kini, pihaknya telah menyediakan sebuah kawasan yang di penuhi tumbuhan herba lengkap bersama data serta kod.

Paiman menambah, teknologi tersebut boleh digunakan untuk tumbuhan lain terutamanya spesies pokok balak.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh melayari laman web Fakulti Perhutanan di www.forr.upm.edu.my atau menghubungi terus ke pejabat fakulti di talian 03-89467162.

- UTUSAN

1 Comment:

  1. iPad pun kini dah makin kurang laris kerana saingan daripada Samsung Tab...
    Sebab penggunaan iPad terhad dan harga mahal tak padan dengan mutu.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90