Novelis - Dakwah cara Fatimah, Farhan
Setiap bait kata yang diluah dari bibir mungil wanita bertudung labuh itu cukup lancar dan teratur. Nadanya lembut dan bersahaja tetapi bagaikan ada aura yang mampu menawan sesiapa yang mendengarnya.
Bicara yang disulami mutiara hikmah yang dipetik daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W. menyuntik cahaya keimanan bagi mereka yang berusaha untuk memahaminya.
Sambil melayan permata hati, Al-Haura’ Maqsurah yang bermaksud bidadari yang terpelihara, wanita yang berwajah keibuan itu menjawab setiap persoalan yang dilontarkan dengan penuh santun.
Senyuman yang sentiasa terukir di bibir menambahkan lagi kemanisan novelis yang dilahirkan dengan nama Fatimah Syarha Mohd. Noordin itu.
Baru mencecah usia 26 tahun pada 17 Oktober lalu, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu sudah pun menghasilkan tujuh karya istimewa yang mempunyai kelompok pembaca tersendiri terutama dalam kalangan remaja.
Berdakwah melalui novel
Berpegang teguh kepada kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasulullah sebagai prinsip hidupnya, Fatimah mengakui dia amat menitikberatkan nilai-nilai keindahan agama dalam penulisannya.
Sebagai penulis, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat atau berdakwah melalui penghasilan penulisan yang berkualiti dan membina keperibadian muslim.
“Apatah lagi, saya memang sangat takut dengan hisab Allah pada setiap patah perkataan yang saya tulis. Jadi saya akan pastikan jika ingin mengupas sebarang isu, ilmu atau sebarang kefahaman, maka saya akan merujuk kepada sumber-sumber yang muktabar iaitu al-Quran, sunnah dan perbincangan ulama-ulama yang disegani seperti Sheikh Yusuf al-Qardawi, Abdul Karim Zaidan dan Dr. Wahbah Zuhaili.
“Saya tidak akan menulis mengikut logik saya sendiri kerana saya tahu kelemahan diri. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda: ‘Sesiapa yang menetapkan satu ketetapan yang buruk dan ia diikuti, maka mereka akan berterusan mendapat saham dosa sehingga ke hari kiamat.’
“Lantaran itulah, saya perlu berhati-hati dalam setiap penulisan agar tidak mendatangkan kesan buruk pada kemudian hari,” tegas Fatimah yang pernah memenangi tempat ketiga dalam Sayembara Novel Remaja sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2006 melalui novelnya yang bertajuk, Seindah Mawar Berduri.
Antara novelnya yang lain termasuklah Tautan Hati, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul (antara novel terlaris), Syabab Musafir Kasih, Duhai Teman Sejatiku, Palestin Kami Datang dan terbaru Bebaskan.
Selain itu, karya pertama graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertajuk, Petua Membuat Orang Jatuh Cinta dihasilkan bersama pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Muhammad Zakaria.
Meskipun banyak memilih tema cinta dalam novel yang dihasilkan, namun Fatimah bijak mengadun kisah cinta yang ingin ditampilkan.
Tidak menulis kisah-kisah cinta stereotaip yang dipenuhi janji manis yang ditaburkan kekasih atau kecurangan seorang pasangan, sebaliknya dia mengajak pembaca untuk bercinta tetapi mengikut landasan syariat yang diberkati Allah.
“Saya percaya keharmonian dalam sesebuah rumah tangga dapat dicapai kesan daripada kita mencari Allah sebelum berkahwin lagi. Contohnya setiap pasangan mempersiapkan diri sebagai muslim sejati, menjaga syariat dan keberkatan untuk merasai satu nikmat kemanisan dalam alam rumah tangga,” kata Fatimah berkongsi pengalaman.
Karya-karya ilmiah
Sebagai seorang ibu kepada seorang cahaya mata berusia setahun dan kini hamil anak kedua, tanggungjawab yang digalas semakin bertambah. Namun, ia bukan penghalang untuknya terus menitipkan karya-karya ilmiah untuk tatapan pembaca.
Apa yang penting baginya, jika seseorang itu sudah berminat kepada sesuatu sudah tentu dia akan ada masa untuk memenuhi minat tersebut.
Cuma, apa yang diperlukan adalah menyusun jadual dengan menjadikan solat lima waktu sehari semalam sebagai panduan dalam melaksanakan rutin hariannya.
“Apabila kita sudah susun jadual dan letak sasaran pada setiap yang dilakukan insya-Allah, Allah yang akan memberikan masa yang memang cukup untuk kita penuhi dengan pelbagai aktiviti dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya bersemangat.
Sementara itu, minat menulis yang sebati dalam jiwa Fatimah turut dikongsi bersama suami, Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib, 26, yang popular dengan novel Islamik bertajuk: Denyut Kasih Medik terbitan Telaga Biru awal tahun ini.
Novel tersebut memaparkan kisah seorang doktor muda yang berjuang dalam mengaplikasikan syariat di hospital sewaktu bergelar doktor pelatih (houseman). Ketabahannya mampu meruntun jiwa pembaca di samping mendidik mereka agar menghargai pengorbanan seorang doktor serta kakitangan kesihatan.
Menurut Farhan, penghasilan novel tersebut lahir daripada sokongan isterinya yang tidak putus-putus memberi semangat dan sentiasa berada di sisi pada waktu susah dan senang.
“Fatimah yang memberi idea untuk saya menulis sebuah novel berkaitan kehidupan seorang doktor yang sentiasa berpegang pada syariat Islam bagi menunjukkan keindahan hidup beragama.
“Pada mulanya sukar untuk saya menyiapkan karya sulung tersebut dek kesibukan kerja yang menuntut satu pengorbanan tinggi. Pernah satu ketika, saya rasa berputus asa dan langsung tidak menyentuh komputer riba hingga sebulan.
“Tetapi Fatimah terus memujuk untuk saya istiqamah dalam menghasilkan novel tersebut.
“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan kemudian saya berjaya menamatkannya. Apabila mula dipasarkan pada Februari lalu saya tidak sangka ia akan menerima sambutan yang sangat memberangsangkan,” beritahu graduan perubatan dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS) itu.
Melihat kepada sinar kebahagiaan yang terpancar pada wajah masing-masing, tidak keterlaluan jika dikatakan pasti ramai yang mahu mencontohi pasangan itu.
Apa pun, Fatimah dan Farhan sepakat menjadikan dunia penulisan sebagai salah satu usaha dakwah dan tanggungjawab mendidik masyarakat mendekatkan diri dengan Allah, menjadikan Rasulullah sebagai idola untuk diikuti seterusnya mengamalkan kehidupan beragama yang mendamaikan.
Untuk mengetahui karya-karya Fatimah dan Farhan dengan lebih lanjut, layari laman web www.telagabiru.net.my atau hubungi Telaga Biru di talian 03-6276 8057.
- KOSMO!