Rangkaian kopitiam tak sensitif isu halal, bahasa

Oleh Rejal Arbee
Felo Kanan UKM

Di Malaysia, soal pokok mengenai makanan halal haram agak sukar ditangani dengan berkesan.

Masih ada kedai makanan seperti pelbagai macam kopitiam yang tumbuh bagai cendawan sekarang yang mana kesahihan halal makanan yang disajikan kepada pelanggan pun diragui.

Pegawai Jabatan Agama pun tidak mahu memikul tanggungjawabnya. Apa tidaknya bila dilihat dari ungkapan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada seorang rakan saya mengenai kedudukan sebuah kopitiam di Shah Alam.

Beliau pergi ke kopitiam itu dan sebelum memesan makanannya bertanyakan pemiliknya apakah ayam yang disajikan di situ halal. Jawab pemilik itu bahawa tentunya ayam yang dibekalkan kepadanya adalah halal sebab semua ayam dalam negeri ini adalah halal.

Maka rakan saya itu pun tidak jadi hendak makan di situ bersama anaknya dan beredar ke tempat lain. Dia menelefon JAIS mengenai kedudukan kopitiam itu. Apa yang diungkapkan pegawai itu amat mengecewakannya.

Apa tidaknya bila pegawai itu berkata dengan selamba bahawa kalau dah was-was jangan makan di situ. Nampak benar sikap tidak ambil kesannya terhadap perkara pokok begini.
Susah sangatkah bagi JAIS memeriksa kedai makanan itu atau memanggil pengusahanya untuk menjelaskan bahawa bukan semua ayam yang dijual dalam negara ini disembelih mengikut kehendak Islam?

Apakah mereka ini tidak prihatin bahawa merekalah juga akan disoal kelak setiap kali orang Islam menjamu selera dengan makanan tidak halal seperti juga syarikat yang menjual sijil halal tanpa membuat pemeriksaan terperinci, apakah semua bahan makanan yang disediakan benar-benar halal sebelum menjual sijil mereka itu untuk dipaparkan di luar kedai makanan kononnya kedai itu sudah diiktiraf sebagai kedai menyediakan makanan halal?

Kedai demikian ini sedikit pun tidak berasa curiga dengan tindakan mereka dan berterusan memperlekeh pihak berkuasa kita. Malangnya agensi kerajaan ini tidak sedikit pun berasa tercabar dengan keadaan demikian. Apakah mereka tidak kisah dengan maruah diri?

Berhujah mengenai kedai makanan ini membawa kepada isu kedua yang mana kerajaan berbangga dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini, tetapi sedikit pun tidak berusaha menentukan semua yang mengakui, malah mendabik dada mereka sebagai warga negara ini benar-benar menghormati kedudukannya.

Akhir-akhir ini sudah menjadi trend pula yang mana wujud kedai khususnya kopitiam yang tidak langsung menghormati bahasa yang sudah diiktiraf sebagai bahasa negara ini sebagaimana juga bahasa Thailand adalah bahasa di negara Thailand atau bahasa Perancis adalah bahasa negara Perancis dan sebagainya.

Kedai di negara itu tidak mungkin mengabaikan bahasa negara masing-masing. Malangnya ini tidak berlaku di Malaysia kerana bahasanya terus saja diabai dan diperlekehkan. Saya sudah pun sebelum ini menimbulkan bagaimana rangkaian kopitiam tertentu berterusan tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan. Gambaran yang diberikan seolah-olah ia bukannya beroperasi dalam negara ini.

Semua papan tanda terpampang dengan menu jualannya serta juga menu yang disediakan di setiap meja hinggakan papan di pintu masuknya menceritakan asal usulnya semuanya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin saja.

Rangkaian itu dengan bangganya menyebut bahawa ia mempunyai sehingga 160 rangkaian kedai di seluruh negara. Saya tidak pula memeriksa apakah semua premisnya tidak mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Ini bukanlah tugas saya, tetapi sebenarnya adalah tugas semua penguasa tempatan di mana kedai-kedai itu beroperasi kerana merekalah yang mengeluarkan permit untuk berniaga.

Apakah pihak berkuasa ini tidak prihatin langsung dengan kedai yang sedikit pun tidak mahu mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini? Kenapa mereka tidak boleh bertindak terhadap kedai itu? Apa susah sangatkah untuk memeriksanya?

Saya sebelum ini sudah pun menulis dalam kolum ini bagaimana tidak ada satu patah pun bahasa negara ini digunakan di sebuah premisnya di Shah Alam. Baru-baru ini seorang rakan baik yang juga seorang peguam mengajak saya ke sebuah lagi rangkaian kopitiam ini di Shah Alam.

Saya sebenarnya amat berat hati pergi ke situ kerana tidak setuju dengan sikap mengabaikan bahasa Melayu. Saya juga berpendapat semua warga negara ini yang menghormati bahasa Melayu seharusnya jangan pergi lagi ke kedai itu hinggalah mereka menghormati bahasa negara ini di mana mereka beroperasi.

Tetapi atas desakannya kerana dia hendak sangat makan roti seri kayanya, saya pun ikut saja. Di situ saya pun tengok menunya. Ia meredakan sedikit perasaan saya terhadapnya kerana menu itu ada menggunakan bahasa Melayu selain daripada bahasa Inggeris dan Mandarin. Jadi saya pun memberitahu rakan saya itu mungkin juga mereka ini sudah berubah dan sudah mula menggunakan bahasa Melayu. Tetapi yang dikesali papan besar dalam kedai yang menunjukkan makanan yang disediakan dengan harganya sekali dalam bahasa Inggeris dan Mandarin saja. Demikian juga dengan papan di muka pintu masuk ke kedai itu mengenai asal usulnya juga dalam bahasa Inggeris dan Mandarin saja.

Jadi sangkaan saya bahawa mereka ini sudah berubah tidaklah benar. Saya kemudian pergi pula ke premisnya di satu lagi lokasi dan mendapatinya berterusan mengabaikan bahasa Melayu, baik dalam menunya, mahupun pada papan tandanya. Apakah Majlis Perbandaran Shah Alam tidak boleh memantau dan bertindak?

Jadi sebenarnya penguasa tempatan ini tidak kisah langsung dengan apa yang ditimbulkan. Demikian juga saya dapati bahawa logo tanda halalnya pun bukannya daripada JAKIM atau JAIS, tetapi dari Islamic Food and Research Council. Sejak bila pula syarikat swasta diberi tauliah mengeluarkan logo halal ini. Tetapi sememangnya saya dapati di Shah Alam banyak kedai makannya menggunakan logo halal daripada syarikat swasta ini.

Bagaimana ia boleh berlaku dan berterusan berlaku? Hanya JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri dan JAIS yang boleh berikan penjelasan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url