Nilai Islam masih kurang dalam budaya korporat

Oleh Shuhairimi Abdullah

Faktor keagamaan perlu dijadikan nilai teras dalam merangka model keusahawanan. Keperluan kepada nilai rohaniah mampu mengawal manusia daripada melakukan sebarang pencerobohan yang boleh menggugat kepentingan agama dan kemaslahatan manusia.
Al-Buraey dalam karyanya Administrative Development: An Islamic Perspective menjelaskan komitmen mengaplikasikan nilai agama dalam amalan keusahawanan masih kurang dipraktikkan. Kelemahan ini kerana pengusaha terpengaruh orientasi nilai ekonomi kapitalis yang bermotifkan elemen material.
Sistem ekonomi abad 21 yang berorientasikan sistem ekonomi kapitalis menyaksikan organisasi korporat berperanan dominan dalam bidang ekonomi.

Pemusatan kuasa ekonomi global Barat pada syarikat multinasional mengancam penjajahan semula sesebuah negara yang turut memberi kesan kepada nilai hidup dan budaya setempat.

Jika budaya negatif ini tidak disaring dengan elemen agama, ia boleh memberi impak tidak baik dan mempengaruhi amalan keusahawanan. Dalam konteks itu terbuka kemungkinan peniruan budaya korporat yang membawa bersama gaya hidup materialistik yang tamak, mementingkan diri, rakus dan boros.

Usahawan Melayu memerlukan model budaya korporat berteraskan agama supaya dapat memiliki kekuatan ekonomi yang tumbuh daripada penghayatan agamanya. Meskipun ini bukanlah suatu yang mudah namun pendekatan keagamaan akan dapat mendisiplinkan perilaku manusia.
Dalam era persaingan ekonomi seperti sekarang, pembinaan budaya dan kelompok usahawan memang tidak dapat dielak tetapi usaha ini hanya akan bermanfaat andainya budaya keusahawanan dapat memberikan landasan peribadi unggul kepada individu usahawan.

Kajian Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada 2006 mendapati 65 peratus nisbah kegagalan usahawan Bumiputera berpunca masalah disiplin dan integriti yang lemah, manakala 35 pe-ratus disebabkan masalah perniagaan yang diceburi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Mohd Nasir Ahmad, berkata kajian dilaksanakan terhadap projek usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan (PROSPER) mendapati sebahagian besar usahawan Bumiputera gagal membentuk disiplin dan integriti hingga menyebabkan perniagaan dijalankan gulung tikar.

Kehidupan masyarakat hari ini bersifat kompleks berbanding masyarakat silam. Tambahan dalam era globalisasi, golongan usahawan lebih terdedah kepada pelbagai risiko dan saingan bersifat terbuka.

Oleh itu, timbul kecenderungan segelintir usahawan meminggirkan ajaran agama demi mengejar cita-citanya untuk berjaya dalam lapangan yang diceburinya. Banyak kajian mendapati sebahagian besar usahawan Melayu menceburi bidang perniagaan menghadapi pelbagai masalah.

Antaranya, terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan yang giat berlaku pada era 70-an dan 80-an, berterusan sehingga kini.

Bagi sesetengah usahawan yang menghadapi masalah kekurangan modal terpaksa mendapatkan bantuan pinjaman institusi kewangan mengenakan kadar bunga pinjaman termasuk meminjam daripada ‘ceti’ yang mengenakan kadar faedah tinggi hingga membebankan mereka.

Realiti yang berlaku ini bercanggah dengan keusahawanan Islam dan jelas wujudnya halangan yang terpaksa ditempuh usahawan sehingga ada kala terpaksa meminggirkan pendekatan agama dalam amalan keusahawanan mereka.

Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera selalunya ‘mudah lupa’ apabila berada di puncak kejayaan. Mereka beranggapan perkara remeh-temeh tidak boleh menggugat prestasi syarikat perniagaan.

Kajian yang dilakukan Biro Pembangunan IKS, Dewan Usahawan Muda Bumiputera Malaysia (BEPI-DUMBM) mendapati antara perkara asas sering diabai pengusaha IKS Bumiputera ialah:

# Tidak amanah, jujur, telus dan bertanggungjawab dengan perniagaan sendiri.

# Tidak menjaga kebajikan pekerja sebaik mungkin.

# Gagal membayar gaji, elaun, KWSP pekerja mengikut jadual.

# Bertukar gaya hidup dari mengamal sistem kehidupan Islam kepada kehidupan Barat.

# Terlalu sibuk dengan perkara yang tidak berhubung kait urusan perniagaan seharian.

# Mengabaikan soal kualiti produk dengan sengaja.

# Tidak mempunyai pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang bertauliah serta mengambil sikap sambil lewa dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran syarikat.

# Mempunyai sikap ego dan berfikiran sempit dalam menghadapi situasi menjelang AFTA 2003.

# Mempunyai budaya ‘tunggu dan lihat’ barulah berfikir untuk mencari peluang yang pada ketika itu sudah terlambat.

Usahawan yang berjaya perlu sentiasa mempunyai sikap positif untuk merangsang aspirasi kejayaan mereka. Pastinya, kejayaan berkenaan perlu dirangsang dengan asas agama. Oleh itu, usahawan berjaya apabila kaya nilai kerohanian bukan sekadar kaya material.

Islam mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini kerana segala tingkah laku manusia dicorakkan melalui pedoman wahyu yang hakiki.

Pembangunan keusahawanan yang tidak diimbangi asas agama akan menyuburkan semangat materialistik dan individualistik dikalangan usahawan.

Akibatnya, usahawan hilang arah tujuan yang merugikan mereka bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url